Accessibility Tools

Skip to main content

SG4 perluas kerjasama pendidikan dan pembangunan modal insan di Mesir

Oleh: Syamimi Manah

KAHERAH, 12 Februari – Delegasi SG4 yang melibatkan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu memperkasa misi perdagangan ke Mesir dengan memberi fokus kepada sektor strategik serta pembangunan modal insan dalam pertemuan rasmi bersama Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah pada 8 Februari lalu.

Menurut Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Nasrif Daud, delegasi tersebut telah mengadakan kunjung hormat rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sebagai sebahagian daripada rangka kerja misi perdagangan dan pelaburan ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

"Pertemuan strategik ini memberi tumpuan kepada pengukuhan misi pelaburan dan kerjasama perniagaan bersama syarikat Mesir, khususnya dalam sektor minyak dan gas, pemprosesan makanan, pembinaan, teknologi hijau dan perkhidmatan profesional" katanya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama import-eksport  termasuk pengukuhan rantaian bekalan makanan Malaysia.

Delegasi berkenaan terdiri daripada YB Nasrif Daud dan YB Wan Rohimi Wan Daud (Kelantan), Exco Kerajaan Negeri Terengganu YB Mohd Norkhuzaini Ab Rahman serta YB Dr. Haim Hilman Abdullah (Kedah).

Kunjung hormat tersebut disambut oleh Pihak Kedutaan Malaysia diwakili oleh Deputy Chief of Mission / Chargé d’Affaires, Embassy of Malaysia in Cairo Rafedah Abdul Aziz.

Beliau menyambut baik inisiatif SG4 dalam memperkukuh hubungan ekonomi, pendidikan dan jaringan industri antara Malaysia dan Republik Arab Mesir.

Turut hadir, wakil Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta wakil Education Malaysia Egypt (EME).

Tambah YB Nasrif, sesi kunjung hormat itu turut membincangkan aspek penjagaan kesihatan dan kerjasama farmasi termasuk peluang akses ubat-ubatan berkualiti pada kos kompetitif, di samping usaha memperkukuh pembangunan bekalan modal insan dan tenaga kerja.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Nasrif Daud

"Kedutaan Malaysia di Kaherah diharap dapat memainkan peranan sebagai fasilitator strategik dalam menghubungkan misi perdagangan SG4 ini termasuk dalam sektor pendidikan dengan universiti dan institusi pendidikan di Mesir" katanya.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi SG4 turut menekankan potensi negeri-negeri SG4 sebagai “Malay Belt” yang mempunyai tanah rizab strategik bagi pembangunan industri dan pelaburan berskala besar.

Dalam hal itu, SG4 berharap Kedutaan Malaysia di Kaherah dapat terus mempromosikan SG4 dalam investment map Malaysia di Mesir serta memperluas corporate linkages dengan syarikat dan institusi strategik Mesir.

YB Nasrif memaklumkan misi dan kunjung hormat SG4 berkenaan diselaraskan melalui kerjasama strategik antara Terengganu Strategic & Integrity Secretariat (TSIS), Unit Pemantauan dan Strategik (SPARK) Pejabat Menteri Besar Kelantan serta Invest Kedah sebagai sekretariat bersama.

"Sekretariat ini bertanggungjawab dalam penyelarasan agenda, penyediaan bahan profil pelaburan serta pengurusan logistik bagi memastikan kesinambungan kerjasama strategik  Malaysia–Mesir" ujarnya.