Accessibility Tools

Skip to main content

Sinergi Kelantan–Terengganu perkasa agenda pembangunan belia Pantai Timur

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 12 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menerima kunjung hormat Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu dalam satu pertemuan dua hala yang berlangsung di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Isnin.

Perjumpaan tersebut melibatkan Exco Belia dan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) Negeri Kelantan bersama Exco Belia dan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) dan turut disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia dari kedua-dua negeri.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, Kelantan mempunyai platform tersendiri dalam membangunkan potensi anak muda melalui penubuhan Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) serta Kelantan Future Leaders Institute (KFLI).

“Di Terengganu pula, wujud UBSNT dan Future Terengganu Leaders (FUTERA). Walaupun berbeza latar dan pendekatan, kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu membangunkan potensi belia serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berintegriti,” katanya.

Menurutnya, antara yang turut dibentangkan dalam sesi tersebut ialah pelaksanaan KFLI yang telah terbukti memberi impak signifikan kepada pembangunan kepimpinan belia dan anak muda di Negeri Kelantan.

Seiring itu, Negeri Terengganu juga sedang mengorak langkah melalui inisiatif FUTERA yang berteraskan pembangunan bakat, kepimpinan dan potensi generasi kepimpinan muda.

Beliau menjelaskan, setiap inisiatif berkenaan memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pembangunan belia yang tersusun, mampan dan berimpak tinggi di negeri masing-masing.

YB Zamakhshari merakam penghargaan kepada YB Hishamuddin Abdul Karim dan rombongan dari Terengganu atas kesudian berziarah ke Kelantan bagi menjayakan sesi perkongsian dua hala yang penuh makna.

“Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang sentiasa menjadi perhatian ramai. Insya-Allah kita boleh bersinergi bersama untuk memperkasakan negeri di Pantai Timur,” ujarnya.

Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Hishamuddin Abdul Karim

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu YB Hishamuddin Abdul Karim berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan mempelajari pengalaman Kelantan dalam aspek pengurusan negeri serta pembangunan belia.

“ADN Belia bukan tiket untuk menjadi Yang Berhormat. Ini adalah tempat untuk kalian timba pengetahuan dan bina jaringan.

“ADN Belia merupakan generasi pelapis kepimpinan masa hadapan. Tahniah kepada semua atas sumbangan idea-idea untuk pembangunan belia Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Wakil ADN Belia Terengganu dan Kelantan

Dalam pertemuan itu, turut diadakan sesi sidang meja bulat melibatkan ADN Belia Kelantan dan Terengganu bagi membincangkan model kepimpinan belia yang lebih berstruktur dan relevan dengan keperluan semasa.

Antara cadangan resolusi yang dikemukakan kepada pimpinan negeri merangkumi pelaksanaan program Cross Learning antara negeri dan negara luar, penganjuran Kongres Belia sebagai platform penyatuan gagasan belia, pengukuhan nilai jati diri serta budaya belia, pewujudan inisiatif Career Door bagi membuka laluan kerjaya kepada anak muda, selain penekanan terhadap pengurusan yang lebih profesional dalam tadbir urus belia dan organisasi.