Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah


Madinah Ramadan 1447H: Agenda nasional, model tadbir urus bandar islamik - YB Hilmi

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Penganjuran Madinah Ramadan kini berkembang sebagai agenda nasional yang menghimpunkan kerjasama kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil, sekali gus menjadi model pengurusan bandar berteraskan nilai Islam yang tersusun dan berimpak.

Demikian kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, YB Hilmi Abdullah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Majlis Makan Malam Penajaan Madinah Ramadan 1447H yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Dato' Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.

YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Kelantan serta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam menjayakan agenda berkenaan.

Menurutnya, penganjuran majlis di Kuala Lumpur membawa makna besar kerana mencerminkan peluasan peranan Madinah Ramadan daripada inisiatif setempat kepada gerakan bersama di peringkat nasional.

“Penganjuran di Kuala Lumpur menzahirkan bahawa Madinah Ramadan bukan lagi milik satu bandar semata-mata, sebaliknya telah berkembang sebagai agenda bersama yang didukung jaringan korporat, masyarakat sivil dan kepimpinan negeri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, Madinah Ramadan tidak harus dilihat sekadar sebagai program bermusim, sebaliknya merupakan ekosistem ibadah bandar yang menyepadukan elemen dakwah, kebajikan, keilmuan, pengurusan sosial serta pembangunan insan dalam satu kerangka yang berdisiplin.

Jelasnya, pengalaman pelaksanaan di Kota Bharu sejak bertahun-tahun membuktikan bahawa prinsip Islam mampu diterjemahkan secara praktikal dalam tadbir urus bandar secara inklusif, beretika dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

“Sumbangan dan penajaan yang diberikan bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi satu bentuk pelaburan sosial berteraskan nilai. Ia melambangkan kesediaan sektor korporat untuk bersama-sama kerajaan membina kesejahteraan rohani, menghidupkan budaya kebersamaan serta memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan insan,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan tanggungjawab sosial korporat yang menyokong Madinah Ramadan memperlihatkan komitmen jangka panjang terhadap pembinaan masyarakat dan negara, bukan semata-mata pulangan material.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif Madinah Ramadan bergerak seiring dengan aspirasi Kelantan Sejahtera 2033 yang menekankan pembangunan berasaskan nilai, kepimpinan berintegriti dan kesejahteraan menyeluruh.

“Madinah Ramadan berfungsi sebagai platform penyatuan rakyat dan kerajaan, medan latihan kepimpinan masyarakat serta model tadbir urus Islam yang berpotensi dicontohi pihak berkuasa tempatan lain,” katanya.