Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan bentang peluang pelaburan, produk pelancongan negeri kepada pelabur Mesir

Oleh: Asri Hamat

KAHERAH, 11 Februari – Kelantan berjaya membentangkan pelbagai peluang pelaburan strategik serta produk pelancongan negeri kepada pelabur Mesir menerusi program “Discover Malaysia: Business Opportunities in the States of Kelantan, Kedah dan Terengganu” di Aswan Hall, Hotel Holiday Inn Cairo, Citystars, sekali gus mengukuhkan usaha memperluas jaringan ekonomi Malaysia–Mesir.

Program itu menghimpunkan 75 pelabur berpotensi tinggi dari Mesir bagi meneroka kerjasama strategik dengan negeri-negeri di Malaysia, khususnya dalam sektor industri bernilai tinggi, halal dan pelancongan.

Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Nasrif Daud serta Ahli Dewan Negeri Melor (ADN) YB Wan Rohimi Wan Daud.

Dalam sesi pembentangan khas, YB Nasriff  mengetengahkan ekosistem pelaburan negeri yang kondusif melalui pembangunan Pasir Mas Halal Park, Tok Bali Industrial Park, Tok Bali Integrated Fisheries Park dan Tok Bali Supply Base sebagai pemangkin pertumbuhan industri.

Katanya, usaha itu disokong projek infrastruktur utama termasuk East Coast Rail Link dan Central Spine Road yang dijangka meningkatkan aksesibiliti serta daya saing Kelantan sebagai hab pelaburan di Pantai Timur.

Menurut YB Nasriff lagi, penyertaan Kelantan dalam program itu bertepatan dengan prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh pada 2025 apabila jumlah dagangan melepasi RM3 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, selain merekodkan lebihan dagangan RM151.8 bilion untuk tahun ke-28 berturut-turut.

Namun, katanya, nilai perdagangan dua hala Malaysia–Mesir masih berada pada paras sekitar USD600 hingga USD700 juta setahun, sekali gus menunjukkan ruang besar untuk dipertingkatkan melalui kerjasama pelaburan dan industri.

Beliau menegaskan Kelantan memberi penekanan kepada perkongsian industri bernilai tinggi, khususnya dalam industri halal global dengan memanfaatkan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf antarabangsa untuk menembusi pasaran Afrika, Timur Tengah dan Eropah.

"Fokus turut diberikan kepada sektor pemprosesan makanan dan agroindustri, industri kimia dan jentera, logistik serta rantaian bekalan industri, selain kerjasama digital dan teknologi maklumat.

"Tidak ketinggalan, tumpuan Kelantan ialah terhadap sektor Pembangunan Sumber Manusia dalam bidang Pengajian Islam, perubatan dan pergigian serta bidang perlombongan," ujarnya.

Sepanjang program, delegasi turut mendengar ucapan wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah, wakil Parlimen Mesir dan Majlis Perniagaan Mesir–Malaysia, selain pembentangan oleh MATRADE.

"Kerajaan negeri yakin pendekatan bersepadu yang merangkumi promosi pelaburan dan pelancongan itu mampu meningkatkan keyakinan pelabur Mesir, merancakkan aliran pelaburan dua hala serta memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi industri halal, logistik dan pelancongan strategik," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Rombongan Misi Pelaburan Kelantan itu diselaraskan oleh Unit Pemantauan dan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan bagi memastikan penyelarasan, pemantauan susulan dan kesinambungan pelaburan berimpak tinggi.