65 pesara penghulu terima saguhati Kerajaan Negeri Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 11 Februari – Sebanyak 65 pesara penghulu yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2025 menerima saguhati daripada kerajaan negeri dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa serta pengorbanan para penghulu sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Menurutnya, setiap penghulu mempunyai sejarah perjuangan tersendiri dalam menggalas amanah yang diberikan demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negeri.
“Sesungguhnya setiap amal perbuatan kita akan meninggalkan kesan dan akan dikira oleh Allah SWT di akhirat nanti. Besar jasa yang telah dicurahkan oleh para penghulu kepada masyarakat dalam apa jua bentuk sekali pun,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, terdapat dalam kalangan penghulu yang telah berkhidmat seawal pembentukan kerajaan negeri ini, iaitu sehingga 35 tahun, selain 30, 29 dan 25 tahun.
“Ini bukan tempoh yang singkat, sebaliknya satu jangka masa yang sangat panjang dalam memberi khidmat kepada kerajaan negeri dan masyarakat. Ia pastinya memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan saguhati yang diberikan kerajaan negeri adalah sebanyak RM300 bagi setiap tahun perkhidmatan.
“Walaupun jumlahnya tidak tinggi, namun nilai jasa yang para penghulu berikan adalah jauh lebih besar di sisi Allah SWT,” katanya.
Dato' Dr Mohamed Fadzli turut menegaskan bahawa khidmat para penghulu tidak terhenti selepas bersara, sebaliknya hanya tamat secara rasmi.
Katanya, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan perlu terus dimanfaatkan dengan membimbing serta menjadi mentor kepada penghulu yang baharu dilantik.
“Jangan anggap ia bukan lagi tugas selepas bersara. Sebenarnya tiada istilah rehat dalam memberi khidmat kepada masyarakat, cuma bidang tugas sahaja yang berubah.
“Hari ini kita ada 65 individu berpengalaman luas. Jangan sia-siakan pengalaman tersebut. Jadilah pembimbing, penasihat dan mentor kepada mereka yang baharu,” katanya.
Beliau menambah, pengalaman, nasihat yang ikhlas serta teladan yang baik amat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan penyampaian khidmat terbaik kepada masyarakat terus terpelihara.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) YB Dato' Abdul Rahman Yunus, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), Pengarah Urus setia Majlis Penghulu Negeri Kelantan Zulkifli Mamat dan Ahli-Ahli Majlis Penasihat Penghulu Negeri Kelantan.










