Accessibility Tools

Skip to main content

Delegasi Kelantan tinjau peluang kerjasama akademik di Universiti Emir Abdelkader

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 11 Februari - Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan usaha memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa apabila delegasi negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Emir Abdelkader, Algeria, baru-baru ini.

Delegasi berkenaan diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan telah disambut mesra oleh Rektor universiti berkenaan, Prof. Dr. Saïd Derradji.

Dato’ Wan Roslan berkata, lawatan itu memberi peluang kepada delegasi Kelantan untuk meninjau secara langsung suasana kampus, meneliti ekosistem akademik serta melihat kemudahan dan fasiliti yang disediakan, termasuk ruang pembelajaran, perpustakaan dan persekitaran ilmiah yang kondusif.

Menurutnya, lawatan tersebut turut bertujuan menilai serta meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang Pengajian Islam, Ekonomi, Usuluddin dan Dakwah.

“Selain itu, perbincangan juga menyentuh usaha memanfaatkan teknologi dan media semasa dalam mempromosikan Islam sebagai ad-din selaras dengan perkembangan dunia digital masa kini,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Beliau berharap ruang kerjasama yang terbuka itu dapat dimanfaatkan sebagai destinasi ilmu baharu buat pelajar-pelajar dari Kelantan pada masa hadapan.

“Semoga usaha ini dapat membuka ruang yang lebih luas dalam pembangunan ilmu serta melahirkan generasi muda Kelantan yang berdaya saing dan cemerlang, selari dengan aspirasi pembangunan negeri,” katanya.

Turut serta dalam lawatan tersebut, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jesim Tan Sri Nik Hashim, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar dan mantan Timbalan Pengarah YIK Mohd Zaki Deraman.