Accessibility Tools

Skip to main content

Pengarang UPKN raih RM10,000: Novel Emas Serial Berat menang Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media DBP

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Pengarang Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Norzana Razaly atau lebih dikenali sebagai Zanazanzaly meraih wang tunai RM10,000 dalam Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dilancarkan pada 23 Julai 2024 dan berakhir pada 31 Mac 2025.

Novel karya beliau bertajuk Emas Serial Berat berjaya mengatasi persaingan 109 manuskrip lain bagi kategori novel.

Bagaimanapun, DBP memutuskan tiada pemenang johan dan naib johan bagi kategori berkenaan kerana tiada karya yang memenuhi tahap kecemerlangan ditetapkan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Fadillah Yusof di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Sementara itu, Ketua Panel Penilai yang juga Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari, dalam ulasannya berkata, karya yang dihasilkan menerusi sayembara berkenaan perlu menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan, selari dengan konsep kesejahteraan dan kenegaraan Malaysia.

Ketua Panel Penilai, Dr Hazami Jahari

Menurutnya, penilaian dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan meliputi aspek bahasa, keilmuan dan gaya persembahan, dengan penekanan terhadap kekuatan idea, ketepatan pengolahan, keutuhan struktur serta keberkesanan penyampaian penulis.

“Secara keseluruhannya, karya yang diterima menunjukkan kesungguhan pengarang mengangkat pelbagai persoalan penting termasuk isu kemanusiaan, jati diri, bangsa, sejarah, agama, warisan serta kritikan sosial,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hazami menasihatkan para pengarang agar terus meningkatkan keupayaan menghasilkan karya besar yang mampu membentuk dan mencabar pemikiran pembaca.

Untuk rekod, DBP menerima 419 penyertaan merangkumi 194 karya puisi, 52 manuskrip cerpen, 63 manuskrip drama pentas dan 110 manuskrip novel.

Sayembara Penulisan Kreatif DBP terdiri daripada empat kategori iaitu kumpulan puisi, kumpulan cerpen, drama pentas dan novel.

Pengiktirafan berprestij tersebut merupakan kesinambungan tradisi DBP dalam menganjurkan pertandingan penulisan kreatif yang bermula buat julung kalinya pada tahun 1958 bersempena dengan kemerdekaan negara.

Tradisi berkenaan diteruskan dengan penganjuran seumpamanya pada tahun 2005 dan 2007.