Accessibility Tools

Skip to main content

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina perkukuh perpaduan masyarakat di Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Februari - Sambutan Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di sebuah pasaraya di Kota Bharu pada Ahad menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta memupuk kefahaman antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, program berkenaan meraikan perayaan dan berperanan sebagai ruang untuk rakyat saling mengenali budaya, menghormati kepelbagaian serta mengukuhkan keharmonian sosial.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Majlis itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya persembahan tarian singa, paluan gendang Cina, tarian tradisional kanak-kanak serta sesi Yee Sang yang melambangkan semangat kebersamaan, kemakmuran dan kesejahteraan," katanya menerusi media sosial pada Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh nilai murni.

"Semoga program seumpama ini terus menjadi jambatan perpaduan dan mengukuhkan hubungan antara rakyat pelbagai latar belakang di negeri kita.
Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini," katanya.

Program tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato' Sri Takiyudin Hasan, Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman dan Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas (Hubungan Luar/ Antara Kaum) Pejabat Menteri Besar Lim Guan Seng.