Accessibility Tools

Skip to main content

YIK, Universiti Umm Al-Qura bincang kerjasama perkasa Bahasa Arab

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Februari - Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengadakan perbincangan kerjasama strategik bersama Universiti Umm Al-Qura, Arab Saudi, bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Arab khususnya dalam kalangan guru mata pelajaran tersebut di sekolah-sekolah seliaan YIK.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara fokus utama perbincangan ialah cadangan pelaksanaan kursus pemantapan Bahasa Arab yang disasarkan kepada guru-guru Bahasa Arab YIK.

Menurut beliau, kursus berkenaan dicadang dilaksanakan secara dalam talian sebagai fasa awal dengan kerjasama IQRA Arabiah University, Universiti Umm Al-Qura, Mekah, sebelum diteruskan ke fasa seterusnya secara bersemuka di universiti tersebut berdasarkan penilaian tahap penguasaan Bahasa Arab peserta.

"Semoga usaha kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan penguasaan dan meningkatkan kefasihan Bahasa Arab dalam kalangan guru sekaligus memberi impak positif terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Tambah YB Dato' Wan Roslan, perincian berkaitan kos dan pembiayaan akan dimuktamadkan selepas kertas cadangan terperinci disediakan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak IQRA Al-Arabiah.

Selain itu, katanya, kursus berkenaan berpotensi diperluaskan kepada pelajar sekolah YIK secara dalam talian serta dibuka kepada orang awam melalui Pusat Bahasa Arab YIK dengan kadar yuran yang bersesuaian.

“Pada dasarnya, saya bersetuju dengan cadangan ini dan telah meminta pihak YIK menyediakan kertas cadangan lengkap untuk dibincangkan selepas pihak IQRA Arabiah mengemukakan cadangan rasmi kepada YIK,” katanya.

Dalam perbincangan yang berlangsung di pejabat Exco Pendidikan di Mabna semalam, Universiti Umm Al-Qura diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IQRA Arabia, Umm Al-Qura University, Sheikh Abdullah Bawazir. Turut hadir, Penolong Pengarah Pusat Bahasa Arab YIK, Ustaz Pahruddin Karimi Che Muhammad serta mantan Timbalan Pengarah YIK, Ustaz Mohd Zaki Deraman.

Untuk rekod, Universiti Umm Al-Qura (UQU) ialah sebuah universiti awam Islam terkemuka yang terletak di Mekah, Arab Saudi. Institusi itu ditubuhkan pada tahun 1941 sebagai Kolej Syariah sebelum dinaik taraf dan dinamakan semula sebagai Universiti Umm Al-Qura pada 1981.

Universiti berkenaan menawarkan pelbagai program pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang seperti teknologi, pengurusan perniagaan, ekonomi Islam, kejuruteraan, perubatan dan pendidikan, dengan penekanan terhadap integrasi pendidikan Islam dan akademik moden.