Accessibility Tools

Skip to main content

KBMC sedia rawatan kanser, ICU dan teknologi perubatan terkini

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 9 Februari - Kota Bharu Medical Centre (KBMC) yang sedang giat dibangunkan bakal menyediakan perkhidmatan rawatan kanser, unit rawatan rapi (ICU) serta teknologi perubatan terkini apabila mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang penghujung tahun 2026.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, hospital swasta terbesar di Kelantan itu akan dilengkapi kemudahan moden termasuk mesin pengimejan perubatan seperti MRI dan CT scan bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan Bangunan Baharu KBMC bersama Timbalan Exco Dato' Abd Rahman Yunus, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dato' Dr Mohd Azman Yacob, CEO KBMC Encik Mohd Nazri Yaacob, pasukan CKAPS Kelantan serta pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, semalam.

Menurut YB Hilmi, projek pembinaan tersebut melibatkan dua blok utama iaitu blok hospital setinggi 12 tingkat dan blok klinik setinggi 11 tingkat yang merangkumi kemudahan parkir, surau, kafetaria serta fasiliti untuk pesakit dan pengunjung.

“Hospital ini akan beroperasi dengan kapasiti awal sebanyak 174 katil dan dijangka meningkat kepada 210 katil apabila operasi penuh dilaksanakan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Tambahnya, antara keunikan bangunan baharu KBMC ialah penyediaan terowong jejantas yang menghubungkan bangunan hospital sedia ada dengan bangunan hospital baharu serta bangunan klinik, sekali gus memudahkan pergerakan pesakit dan petugas kesihatan.

Mengulas lanjut, YB Hilmi memaklumkan lawatan tapak itu bertujuan mendapatkan maklumat menyeluruh berkaitan kemajuan kerja, cadangan operasi serta kemudahan yang bakal ditawarkan oleh KBMC.

“Usaha ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, bukan sahaja melalui fasiliti kerajaan malah turut disokong oleh perkhidmatan hospital swasta,” jelasnya.