Accessibility Tools

Skip to main content

Pesawah wira sekuriti makanan negara, kebajikan mereka dipelihara - Exco Pertanian

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 15 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegakan komitmen berterusan dalam membela kebajikan pesawah yang disifatkan sebagai wira sekuriti makanan negara menerusi pelbagai dasar dan inisiatif pengukuhan industri padi.

Penegasan itu disampaikan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika sesi interaksi dalam Seminar dan Dialog Pengairan Sawah Padi Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di H-Elite Design Hotel, Tunjong, hari ini.
 
Dialog tersebut turut menampilkan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu YB Dato' Dr Azman Ibrahim sebagai panel jemputan bagi sesi dialog bersama peserta dalam kalangan pesawah, pengilang padi dan broker mesin padi seluruh Kelantan.

Menurut Dato' Tuan Saripudin, Kelantan mempunyai Dasar Pertanian Negeri Kelantan dengan sasaran untuk muncul sebagai negeri jelapang makanan.

“Kelantan merupakan negeri kedua terluas tanaman padi di Malaysia dengan keluasan melebihi 40,000 hektar selepas Kedah. Daripada jumlah itu, lebih 26,000 hektar berada di bawah seliaan KADA,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebahagian besar kawasan padi di Pasir Mas, Kota Bharu dan Pasir Puteh menggunakan pam air di bawah KADA yang mengambil sumber air dari Sungai Kelantan dan kerajaan negeri tidak menghalang penggunaan sumber tersebut untuk tujuan pertanian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyalurkan peruntukan khas bagi industri padi di Kelantan, manakala kerajaan negeri menyediakan bajet sebanyak RM6.97 juta untuk dipohon bagi memaksimumkan hasil tanaman termasuk padi.

“Kita nak industri padi di Kelantan ini semakin baik, bukan menurun. Insya-Allah dengan bajet yang ada, kita beri peluang kepada pesawah. Jika ada yang memerlukan pam enjin, boleh mohon dengan kerajaan negeri,” ujarnya.

Mengulas isu pemotongan kualiti belian padi yang dibangkitkan peserta, beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian yang lebih praktikal dan adil.

Antara cadangan yang diketengahkan ialah memaparkan carta potongan berdasarkan kadar kelembapan bagi mengelakkan pemotongan secara subjektif, selain melaksanakan ujian kualiti secara persampelan di hadapan pesawah.

“Sampel padi diambil di hadapan pesawah, satu disimpan di kilang dan satu lagi dihantar ke makmal bagi mengurangkan manipulasi bacaan mesin kelembapan.

Semua kilang juga dicadangkan menggunakan mesin penggredan yang ditentukur secara berkala untuk tujuan pensijilan dan audit oleh JPS,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Timbang Padi Negeri yang dianggotai wakil pesawah, pengilang, kerajaan negeri dan agensi teknikal bagi memastikan ketelusan serta kebajikan pesawah terus terpelihara.

Menurutnya, isu tersebut bukan sahaja berlaku di Kelantan malah turut dibangkitkan di negeri-negeri lain dan akan dibawa ke peringkat jawatankuasa lebih menyeluruh.

Exco Pertanian Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) atas penganjuran seminar berkenaan yang menjadi medan pertukaran pandangan serta penyelarasan tindakan dalam kalangan pemain industri.

Beliau turut menggesa pesawah yang mempunyai sebarang aduan supaya mengemukakan laporan lengkap untuk dibawa ke peringkat Exco dan kementerian agar tindakan sewajarnya dapat diambil.