Penganjuran ICOSAM 1.0 bukti keseriusan KIAS perkasa kefahaman syariah dan muamalat
Oleh : Asri Hamat
KOTA BHARU, 19 Februari – Penganjuran Persidangan Syariah dan Muamalat 2026 (International Conference on Syariah & Muamalat KIAS (ICOSAM 1.0)) bertaraf antarabangsa membuktikan keseriusan institusi pengajian tinggi Islam dalam memperkasakan kefahaman syariah dan muamalat selari dengan keperluan semasa masyarakat Islam.
Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) itu adalah langkah positif dan bertepatan dengan tuntutan semasa, khususnya di Negeri Kelantan.
Menurutnya, persidangan berkenaan bukan sahaja menghimpunkan ilmuwan dan pakar dalam bidang syariah dan muamalat, bahkan menjadi wadah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewajipan menunaikan zakat.
“Antara isu yang sangat penting untuk diberi penekanan ialah zakat emas perhiasan. Di Negeri Kelantan telah difatwakan bahawa wanita yang memakai emas perhiasan melebihi 600 gram dalam tempoh setahun adalah wajib mengeluarkan zakat.
“Perkara ini perlu difahami dengan jelas agar tiada kekeliruan dan setiap individu yang memenuhi syarat dari sudut hukum Islam dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan penuh kesedaran dan keikhlasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Syariah dan Muamalat 2026 di Dewan Johor, KIAS, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, zakat emas perhiasan sering dianggap remeh dan kurang diberi perhatian, sedangkan nilainya mampu menjadi sumber penting dalam membantu golongan asnaf sekiranya ditunaikan dengan sempurna.
“Justeru, program ilmiah seperti persidangan ini amat penting sebagai medium pendidikan dan penyebaran maklumat sahih kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembentang kertas kerja, panel forum, peserta dalam dan luar negara serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan persidangan berkenaan.
Katanya, komitmen dan kesungguhan semua pihak mencerminkan semangat cintakan ilmu dan kesatuan dalam memperkasakan syariah Islam.
“Semoga segala perbincangan, resolusi dan dapatan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan praktikal dan berimpak tinggi kepada pembangunan ummah, khususnya dalam memperkukuh institusi zakat dan sistem Muamalat Islam di negeri Kelantan,” ujarnya.
Majlis penutup persidangan yang bertemakan “Zakat Emas Perhiasan: Integrasi Fiqh” itu turut dihadiri Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud serta Rektor KIAS Prof Dr Mazlan Ibrahim.
















