Accessibility Tools

Skip to main content

Muqri, Rafiah johan qari qariah MTHQ Negeri Kelantan 2026

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 6 Februari — Muhamad Nukman Muqri Nazri Erani dan Rafiah Hussin dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, malam tadi.

Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis dan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.

Dalam kategori tilawah al-Quran, Muhamad Nukman Muqri merangkul gelaran johan qari dengan markah 90.50 peratus, manakala Rafiah muncul johan qariah dengan markah 89.50 peratus.

Kedua-duanya menerima wang tunai RM10,000, piala, sijil penghargaan serta sepersalinan pakaian.

Bagi kategori hafazan tahap satu melibatkan 1 hingga 10 juzuk berserta tarannum, johan lelaki dimenangi Abdul Karim Mohd Azra’hi dengan markah 96.61 peratus, sementara johan perempuan disandang Siti Sifiyyah Mohd Zainuri yang memperoleh 91.27 peratus.

Pemenang menerima wang tunai RM2,500, piala, sijil dan sepersalinan pakaian.

Kategori hafazan tahap dua melibatkan 1 hingga 20 juzuk pula menyaksikan Nik Azri Hanif Nik Ahmad Huzaimi muncul johan lelaki dengan markah 93.30 peratus, manakala johan perempuan dimenangi Siti Murtam Mohd Rahim dengan 90.40 peratus.

Mereka menerima wang tunai RM3,000 berserta piala, sijil dan sepersalinan pakaian.

Bagi hafazan tahap tiga melibatkan 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad ‘Atifilhilmi Mohd Ramli dinobatkan johan lelaki dengan markah 92.30 peratus, sementara Mawardah Mohd Rani menjadi johan perempuan dengan markah 90.00 peratus.

Kedua-duanya menerima wang tunai RM10,000, piala, sijil dan sepersalinan pakaian.

Semua johan tilawah dan hafazan akan mewakili Kelantan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 18 April 2026 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapannya menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memakmurkan al-Quran dalam tadbir urus serta kehidupan masyarakat.

Beliau berkata pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam menjadi teras dalam menyemarakkan syiar al-Quran termasuk melalui program sepanjang Ramadan di peringkat negeri dan jajahan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Beliau turut menyeru umat Islam supaya menyambut Ramadan dengan memperkukuh hubungan bersama al-Quran melalui tilawah dan tadabbur secara berdisiplin serta bersungguh-sungguh agar membentuk jiwa bertakwa.

Majlis turut dihadiri timbalannya, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, mantan Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Sahibus Samahah Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). Dr Hasan Ramli.