Peserta RXZ Forever Legend dipuji, julang adab tinggi
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 8 Februari — Peserta Program RXZ Forever Legend dipuji kerana menampilkan tahap adab dan disiplin tinggi sepanjang penganjuran program dua hari, sekali gus menepis tanggapan bahawa nilai kesopanan menjadi penghalang kepada kreativiti dan ekspresi anak muda.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, golongan belia yang terlibat dalam program berkenaan membuktikan hiburan dan minat rekreasi boleh digerakkan seiring dengan akhlak serta nilai murni.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah menyekat ruang anak muda untuk berkarya, sebaliknya menyediakan panduan agar kebebasan yang dimiliki tidak terpesong daripada landasan adab dan tanggungjawab.
“Hakikatnya, adablah yang mengangkat martabat karya. Kerajaan tidak pernah menyekat anak muda berkarya. Tiada idea dipadam, tiada bakat dipenjara. Yang dipandu hanyalah arah supaya kebebasan tidak menjadi kebiadaban dan seni tidak berubah menjadi kehampaan nilai,” katanya.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran program rekreasi belia berteraskan permotoran legenda Yamaha RX-Z yang berlangsung pada 6 hingga 7 Februari itu memperlihatkan kematangan penganjur dan peserta apabila turut menyediakan zon menutup aurat serta kemudahan surau yang berfungsi sepanjang acara.
“Inilah seni yang tahu asal-usulnya dan hiburan yang tidak lupa Tuhan. Anak muda Kelantan memilih jalan yang sukar tetapi bermaruah, berani berhibur tanpa kehilangan akhlak dan berani bergembira tanpa menggadai prinsip,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peserta supaya terus memelihara nilai diri selepas berakhirnya program dan tidak menjadikan hiburan sebagai matlamat utama kehidupan.
“Apabila sorakan reda dan pentas ditinggalkan, ingatlah bahawa hiburan hanya singgah seketika, tetapi akhlak menentukan arah hidup sepanjang jalan. Berkaryalah dengan berani dan bergembiralah dengan tertib kerana kebebasan tanpa adab hanya melahirkan penyesalan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan dan maruah diri sepanjang perjalanan pulang.
“Moga pulang dengan selamat dan hati yang terjaga kerana kasih sayang sebenar bukan membiarkan kita hanyut, tetapi mengingatkan agar tidak tersesat,” katanya.
Mewakili tuan rumah, beliau merakamkan penghargaan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri yang hadir memeriahkan program tersebut serta memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang penganjuran.
“Terima kasih kerana memilih negeri Serambi Mekah sebagai destinasi. Kehadiran para tetamu amat dihargai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program RXZ Forever Legend Muhamad Huzaifah Abdul Halim berkata, kira-kira 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara serta Selatan Thailand hadir memeriahkan himpunan berkenaan.
Menurutnya, penganjuran kali pertama itu berjaya direalisasikan selepas hampir dua tahun perancangan yang bermula sejak 2024.
















