Accessibility Tools

Skip to main content

STAM 2025: Prestasi pelajar YIK meningkat, 9 calon cemerlang 10 Mumtaz

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 5 Februari – Prestasi pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 menunjukkan lonjakan membanggakan apabila peratus kelulusan meningkat sebanyak 9.25 peratus, dengan sembilan calon berjaya mencipta kecemerlangan penuh apabila memperoleh 10 Mumtaz.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad dalam satu sidang media yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 906 calon telah menduduki peperiksaan STAM di 25 pusat peperiksaan di bawah YIK pada tahun 2025, meningkat berbanding 897 calon daripada 24 pusat peperiksaan pada tahun 2024.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 609 calon atau 67.33 peratus berjaya lulus peperiksaan STAM, sekali gus menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun lalu,” katanya.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad

Beliau turut memaklumkan, selain pencapaian 10 Mumtaz, pencapaian pangkat Mumtaz (cemerlang) turut meningkat kepada 68 calon berbanding 51 calon pada tahun 2024.

Bagi kategori lain, sebanyak 189 calon memperoleh Jayyid Jiddan (Amat Baik) berbanding 161 calon pada tahun sebelumnya, manakala 276 calon mencapai Jayyid (Baik) berbanding 266 calon pada 2024. Pencapaian Maqbul (Lulus) pula mencatatkan peningkatan kepada 76 calon berbanding 42 calon pada tahun lalu.

Dari segi Gred Purata peringkat YIK, keputusan tahun 2025 turut menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 3.10 berbanding 3.19 pada tahun 2024.

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat muncul sebagai sekolah terbaik dengan GPS 1.63, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan yang memperoleh GPS 2.39 dan Maahad Muhammadi Lelaki dengan GPS 2.47.

Dalam pada itu, Exco Pendidikan Negeri Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat yang menyertai tele sidang secara atas talian dari Algeria, merakamkan ucapan tahniah kepada YIK atas kejayaan merangka pelbagai program pendidikan yang berimpak tinggi.

Tele sidang Exco Pendidikan Negeri Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

“Syabas dan tahniah kepada YIK kerana berjaya meningkatkan kecemerlangan serta mengurangkan peratus pelajar yang gagal. Tahniah juga kepada pihak sekolah terutamanya guru-guru mata pelajaran yang bertungkus lumus mendidik para pelajar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kurikulum YIK Rosdi Zakaria memaklumkan bahawa pencapaian STAM tahun 2025 secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan yang jelas apabila jumlah pelajar yang gagal berjaya dikurangkan daripada 385 orang pada tahun 2024 kepada 297 orang pada tahun ini, melibatkan pengurangan seramai 88 pelajar.

Menurutnya, kejayaan tersebut berkemungkinan hasil pelaksanaan beberapa inisiatif dan program berfokus yang dirangka oleh YIK secara berterusan.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk muzakarah mata pelajaran STAM bagi pelajar yang lemah, Program Lonjakan Kecemerlangan STAM mengikut jajahan, serta sesi penggubalan bagi subjek-subjek kritikal yang memberi penekanan kepada topik berkeperluan tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, pendekatan bersepadu melalui program-program tersebut membantu meningkatkan kefahaman pelajar sekali gus memperbaiki prestasi keseluruhan peperiksaan STAM di peringkat YIK.

Rosdi turut menjelaskan bahawa STAM merupakan laluan pendidikan yang bernilai tinggi kerana kelayakan tersebut setaraf diploma, selain membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara.