Accessibility Tools

Skip to main content

LTSIP sedia terima 9,000 penumpang sehari menjelang cuti perayaan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 5 Februari – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menampung peningkatan pergerakan penumpang yang dijangka mencecah kira-kira 9,000 orang sehari sempena musim cuti perayaan akan datang.

Exco Kerjaya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, persiapan menyeluruh telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan lapangan terbang meliputi aspek operasi, keselamatan, aliran trafik serta kemudahan penumpang bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan teratur.

Beliau memaklumkan, penyelarasan awal melibatkan pengendalian penerbangan, pengurusan slot waktu, pergerakan di balai berlepas dan ketibaan serta sokongan logistik telah dibuat bagi mengurangkan risiko kesesakan sepanjang tempoh puncak.

“Rekod tahun lalu menunjukkan LTSIP menerima antara 7,000 hingga 8,000 penumpang sehari dengan 62 penerbangan. Menjelang musim perayaan tahun ini, dijangka akan ada pertambahan daripada tahun lalu oleh beberapa syarikat penerbangan domestik,” katanya ketika lawatan kerja ke LTSIP, hari ini.

Menurutnya lagi, peningkatan kekerapan penerbangan itu menjadi faktor utama penambahan kapasiti kepada sekitar 9,000 penumpang sehari , sekali gus meletakkan LTSIP sebagai antara terminal udara domestik paling sibuk di Semenanjung Malaysia.

Katanya, trend trafik tertinggi dijangka berlaku dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas hari raya, justeru penyelarasan jadual slot penerbangan dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan di terminal.

Dalam pada itu, penambahan petugas operasi dan keselamatan turut dibuat sepanjang tempoh puncak, khususnya di kaunter daftar masuk, laluan pemeriksaan keselamatan serta pengendalian bagasi bagi mempercepatkan proses saringan dan mengurangkan masa menunggu.

Dato’ Dr Izani turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, termasuk membuat tempahan tiket lebih awal bagi mengelakkan kesulitan serta kenaikan harga saat akhir.

“Rakyat Kelantan yang berada di luar dan merancang menggunakan laluan penerbangan Kuala Lumpur–Kota Bharu dinasihatkan membeli tiket sekarang. Apabila semakin hampir dengan musim perayaan, harga biasanya meningkat. Rancang perjalanan dengan baik,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai timbalannya, YB Saizol Ismail dan Ahli Dewan Negeri Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah bagi meninjau persiapan akhir pra operasi terminal baharu di Fasa 2 yang dijadualkan beroperasi dalam masa terdekat.