Kelantan-Algeria perkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 5 Februari - Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Algeria bagi memperkukuh hubungan strategik dalam aspek pendidikan, kebajikan pelajar serta penerokaan peluang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan sektor berkaitan di Algeria.
Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan disambut mesra oleh Duta Besar Malaysia ke Algeria TYT Dato’ Rizany Irwan Muhamad Mazlan.
Menurut Dato' Wan Roslan, kunjungan tersebut turut menjadi platform perbincangan berkaitan sokongan diplomatik, penyelarasan hal ehwal akademik serta pembangunan sumber manusia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Algeria atas komitmen dan kerjasama erat dalam menyokong agenda pendidikan serta kebajikan pelajar Kelantan dan Malaysia yang menuntut di luar negara.
“Semoga kunjungan hormat ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih tersusun, berterusan dan memberi manfaat besar kepada penerokaan ilmu serta pembangunan pendidikan demi kesejahteraan ummah,” katanya.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripuddin Tuan Ismail, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar serta Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jesim Tan Sri Nik Hashim.












