Manusia perlu hidayah untuk kehidupan selamat sejahtera – MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 5 Februari - Manusia amat memerlukan hidayah daripada Allah SWT bagi menjalani kehidupan yang selamat dan sejahtera, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, tanpa petunjuk Ilahi, manusia tidak mampu menjalani kehidupan dengan cara yang benar sebagaimana dikehendaki oleh Allah Azza Wajalla.
Jelasnya, al-Quran merupakan kitab hidayah yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan untuk membimbing manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya Islam.
“Petunjuk ke jalan yang lurus, yang juga dikenali sebagai hidayah ad-din, adalah hidayah terbesar yang diperlukan oleh seluruh manusia. Inilah hidayah yang kita mohon setiap hari dalam setiap rakaat solat. "
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Panji, pada Selasa.
Tambah Menteri Besar, dengan hidayah ad-din, manusia mampu membezakan antara yang hak dan batil, serta yang baik dan buruk, manakala tanpa hidayah, manusia akan terus terumbang-ambing walaupun memiliki ilmu, teknologi dan kemajuan material.
“Justeru, kembali kepada penyelesaian Islam yang bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah Nabawiyyah adalah solusi terbaik dalam menangani pelbagai kemusykilan serta keruntuhan moral yang semakin membarah dalam masyarakat,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kefahaman yang sahih terhadap al-Quran dan al-Sunnah mampu membentuk keperibadian, akhlak dan sahsiah yang mulia dalam kalangan umat Islam.
Katanya, prinsip itu menjadi asas kepada dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan di Kelantan, yang lahir daripada kefahaman Islam yang mendalam dan diterjemahkan melalui dasar, polisi serta gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri.
“Semua usaha ini digerakkan bagi menterjemahkan tuntutan al-Quran dalam konteks pentadbiran berkerajaan,” katanya.
Beliau turut menyingkap sejarah para sahabat Rasulullah SAW yang dibina melalui pengukuhan akidah, kefahaman Islam dan penghayatan al-Quran yang wajar dijadikan iktibar, sehingga mereka menjadi ibarat ‘mushaf yang berjalan’ dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab menghidupkan al-Quran bukan hanya di pentas tilawah, sebaliknya bermula dari rumah, sekolah, masjid dan merangkumi setiap lapangan kehidupan.








