Kelantan komited perkasa latihan dan pendidikan teknikal rakyat
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 5 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menyokong usaha memperluas akses latihan dan pendidikan teknikal kepada rakyat negeri ini melalui penglibatan aktif institusi Kolej Komuniti, selaras dengan keperluan pembangunan modal insan berkemahiran.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts Abdul Razak Sabtu yang hadir bersama Pengarah Kolej Komuniti dari Pasir Mas (Cawangan Rantau Panjang), Jeli, Kok Lanas, Jeli (Cawangan Tanah Merah) serta Besut.
Menurutnya, perbincangan tersebut menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik bagi membuka lebih banyak peluang latihan dan pendidikan teknikal kepada rakyat Kelantan, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran relevan dengan keperluan semasa industri.
“Saya dimaklumkan bahawa Kolej Komuniti terbuka kepada anak-anak Kelantan untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran seperti perniagaan, fesyen, pastri, automotif dan banyak lagi,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau pada Isnin.
Tambah beliau, institusi Kolej Komuniti turut menawarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat yang terbuka kepada orang awam, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk meningkatkan kemahiran, menambah pengetahuan dan memperluas peluang pekerjaan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan kemahiran yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial negeri.
Turut Bersama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Kamaruzaman Mohamad.














