Accessibility Tools

Skip to main content

KGT umum penstrukturan harga produk perak, perkenal jongkong perak baharu

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 2 Februari – Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT)  mengumumkan penstrukturan semula harga serta pengurusan produk perak melibatkan Dirham fizikal, e-Dirham dan pengenalan rangkaian jongkong perak baharu, berkuat kuasa 1 Februari 2026.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pihak Media dan Komunikasi Strategik KGT, harga Dirham akan diapungkan mengikut harga pasaran harian pada pukul 9.45 pagi dan 5.45 petang.

Paparan harga bagi produk Dirham fizikal dan e-Dirham juga berbeza.

"KGT menggalakkan pelanggan untuk membuat pembelian melalui sistem e-D&D memandangkan harga e-Dirham yang ditawarkan adalah lebih kompetitif berbanding Dirham fizikal.

"Bagi produk Dirham fizikal, KGT menawarkan denominasi satu, dua, lima  dan 10 Dirham. Manakala bagi e-Dirham, pembelian boleh dibuat serendah 0.5 Dirham. Walau bagaimanapun, pengeluaran e-Dirham kepada Dirham fizikal hanya dibenarkan bagi jumlah minimum dua Dirham ke atas dan tertakluk kepada ketersediaan stok,"kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Tambah kenyataan itu lagi, pengeluaran e-Dirham kepada Dirham fizikal hanya melibatkan denominasi 10 Dirham Belia dan 10 Dirham Wanita. Stok fizikal bagi denominasi lain masih dalam proses penyediaan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

1 Dirham KGT

Dalam pada itu, KGT turut memperkenalkan produk jongkong perak fizikal sebagai alternatif simpanan dan pelaburan kepada pelanggan.

Produk jongkong perak berkenaan ditawarkan dalam tiga denominasi utama iaitu 100 gram, 500 gram dan satu  kilogram, dengan tempoh kesiapan tempahan dianggarkan sekitar dua minggu.

"Harga jongkong perak akan ditentukan mengikut segmen pelanggan dan dikemas kini setiap satu jam bermula pukul 9.15 pagi hingga 5.45 petang, Isnin hingga Sabtu, selaras dengan mekanisme harga produk jongkong emas KGT.

"Kadar pembelian balik yang ditetapkan oleh KGT adalah sebanyak 30 peratus bagi produk Dirham dan 15 peratus bagi produk jongkong perak, tertakluk kepada terma dan syarat semasa syarikat.

"Bagi penukaran Dirham kepada Dinar emas 917 atau emas 999.9, kadar penukaran ditetapkan sebanyak 20 peratus dengan caj perkhidmatan RM10 bagi setiap satu unit Dinar 917 atau satu unit emas 999.9, kecuali penukaran yang dibuat dalam sistem e-D&D," kata kenyataan tersebut.

Menurut KGT, langkah penstrukturan, pengenalan produk baharu serta penambahbaikan itu bertujuan memastikan penawaran produk perak kekal telus, adil dan berdaya saing, selain mencerminkan pergerakan sebenar pasaran perak global.

“Inisiatif ini juga dilaksanakan bagi memperkukuh kelestarian operasi syarikat serta memastikan kesinambungan tawaran terbaik kepada pelanggan dalam jangka masa panjang,” jelasnya.

KGT turut menegaskan bahawa semua produk perak yang ditawarkan mengekalkan standard kualiti dan ketulenan yang tinggi, selaras dengan komitmen syarikat terhadap pematuhan piawaian logam berharga.

Pelanggan disarankan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan harga semasa, mekanisme apungan harga dan spesifikasi produk jongkong perak melalui saluran rasmi KGT atau dengan menghubungi khidmat pelanggan syarikat di talian 019-352 1901.