KFLB program tahunan terbaik untuk lepasan SPM
Oleh: Syamimi Manah
BACHOK, 1 Februari – Sambutan luar biasa terhadap Kelantan Future Leaders Bootcamp (KFLB) 2026 menyaksikan 343 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengemukakan permohonan, namun hanya 150 daripadanya dipilih untuk mengikuti program pembentukan kepimpinan yang berlangsung di Sudara Beach Resort, Bachok.
Program anjuran Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Januari itu memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, pengukuhan nilai agama serta pembentukan jati diri pelajar dalam fasa peralihan sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi.
Pengarah Program Ahmad Syuwari Mohamad berkata, penganjuran KFLB yang dilaksanakan kira-kira sebulan selepas tamat SPM, bertujuan mengisi masa lapang lepasan sekolah dengan pengisian bermanfaat dan tersusun.
Pengarah Program KFLB 2026, Ahmad Syuwari Mohamad
“Pelajar lepasan SPM ini masih mempunyai tempoh masa yang panjang sebelum melanjutkan pengajian ke universiti. Ruang masa ini perlu diisi dengan pengisian kepimpinan dan pengukuhan agama supaya mereka tidak terbiar tanpa hala tuju,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurutnya, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila pihak urusetia menerima hampir 100 permohonan pada hari pertama pendaftaran dibuka, dengan jumlah keseluruhan mencecah 343 permohonan dari seluruh Kelantan.
“Daripada jumlah tersebut, hanya 150 peserta dipilih berdasarkan merit dan latar belakang kepimpinan. Pemilihan dibuat melalui penilaian penglibatan sebagai ketua pengawas, penyertaan dalam program peringkat negeri dan kebangsaan serta pengalaman kepimpinan lain yang dinyatakan dalam borang permohonan,” jelasnya.
Ahmad Syuwari turut menegaskan bahawa KFLB bukan bertujuan melahirkan pemimpin secara segera atau individu yang sekadar popular dan petah berkata-kata.
“KFLB bukan untuk mencetak pemimpin dalam tempoh tiga hari. Program ini merupakan medan pembentukan pemimpin yang berpegang kepada nilai alqawiyyul amiin, iaitu kompeten dan berintegriti,” katanya.
Tambahnya, KFLB bukan program bersifat ‘one-off’, sebaliknya merupakan sebahagian daripada ekosistem pembangunan kepimpinan belia Kelantan yang dirangka secara berperingkat dan berterusan.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, penyertaan dalam KFLB merupakan langkah awal yang penting bagi peserta sebelum melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad
“Anda semua berada pada fasa kritikal pembentukan diri. Apabila berada di institusi pengajian tinggi nanti, anda akan berdepan kebebasan berfikir, ujian integriti serta cabaran dalam membentuk prinsip hidup,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa penganjuran KFLB mencerminkan komitmen dan pelaburan jangka panjang Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pembangunan modal insan.
“Program ini kita letakkan sebagai pelaburan masa depan Kelantan kerana anak-anak inilah yang bakal mencorakkan hala tuju negeri pada masa akan datang,” katanya.
YB Zamakhshari turut memaklumkan bahawa latar belakang peserta menunjukkan keseimbangan yang baik, terdiri daripada 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 31 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 29 pelajar Sekolah Berasrama Penuh, 22 pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), 18 pelajar SMK (Agama), tiga pelajar sekolah swasta dan dua pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian berteraskan kepimpinan dan hala tuju kerjaya menerusi slot Future Talk bersama panel berpengalaman, selain Aspiration Talk yang memfokuskan kepada pengukuhan kerohanian dan pembentukan jati diri.
Program turut diserikan dengan slot riadah bagi memastikan keseimbangan fizikal dan mental peserta, selain Kel Talks yang menampilkan perkongsian oleh Pendakwah Selebriti Ustazah Asmak Hussin, Tokoh Belia Negara 2015 Suhail Mohamed Kamaruddin serta Pengurus Pusat Perubatan Senaman, Nabil Zulkifli.
















