Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-Universiti Ez-Zitouna meterai MoU pendidikan Islam

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 3 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan mencatat satu langkah penting dalam hubungan pendidikan Islam antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Ez-Zitouna, Tunis, melibatkan kerjasama pengajian Islam dan pembangunan akademik antara kedua-dua pihak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, Universiti Ez-Zitouna merupakan antara institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia yang diasaskan sejak tahun 737 Masihi bermula daripada Masjid al-Zaytuna.

Menurutnya, selama lebih 12 abad universiti berkenaan telah berperanan sebagai pusat keilmuan Islam yang melahirkan ramai ulama dan ilmuan tersohor, khususnya dalam bidang syariah, bahasa Arab dan tamadun Islam.

“Prestij Universiti Ez-Zitouna terserlah apabila ia melahirkan tokoh besar Islam seperti Ibn Khaldun, pemikir dan sejarawan agung yang pemikirannya terus diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya di laman rasmi, semalam.

Menurut Dato' Wan Roslan, lawatan tersebut adalah untuk mempelajari pendekatan pendidikan islam di negara tersebut.

"Dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa negeri Kelantan, saya telah mengetuai delegasi rasmi Kerajaan Negeri Kelantan ke Universiti ini,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi PIBG Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar serta Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim.

Dalam lawatan itu, delegasi mengadakan pertemuan bersama Rektor Universiti Ez-Zitouna, Profesor Dr Abd Latif Aziz, Timbalan-timbalan Rektor serta barisan pensyarah dan pentadbiran universiti sebelum menyaksikan pemeteraian MoU antara kedua-dua pihak.

Dato' Wan Roslan menjelaskan, MoU berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama yang telah dirintis sejak tahun 2017 dan membuka peluang kepada pelajar lepasan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta anak-anak Kelantan lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melanjutkan pengajian di Universiti Ez-Zitouna.

“Peluang pengajian ini melibatkan khususnya Maahad ‘Aliy Lil Hadharah al-Islamiah dan Maahad ‘Aliy Lil ‘Ulum al-Islamiah di Qairawan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Universiti Ez-Zitouna atas layanan mesra dan kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan, selain menghargai komitmen pengurusan universiti dalam menjayakan hubungan pendidikan bersama Negeri Kelantan.

“Semoga kerjasama strategik ini terus diperkasakan dan diberkati Allah swt demi manfaat ummah seluruhnya selari dengan aspirasi Membangun Bersama Islam,” ujarnya.