Accessibility Tools

Skip to main content

LRA Bukit Chupak beroperasi, 4,965 akaun pengguna terima bekalan air terawat

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 3 Februari - Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak di Gua Musang telah mula beroperasi pada 1 Februari lalu, sekali gus menyalurkan bekalan air terawat ke setiap rumah melibatkan 4,965 akaun pengguna di sekitar bandar Gua Musang.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek bernilai lebih RM50 juta itu kini berfungsi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10 Juta Liter Sehari (10 JLH).

Menurutnya, sejak tarikh operasi bermula, bekalan air terawat telah disalurkan dan memasuki paip air kediaman penduduk membabitkan 2,020 akaun di Bandar Baru Gua Musang, 1,488 akaun di Bandar Lama, 623 akaun di Taman Wangsa Mewangi serta 834 akaun di lokasi lain.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr Izani Husin

“Sebanyak 4,965 akaun pengguna air hari ini saya katakan selesai menerima bekalan daripada LRA Bukit Chupak. Kapasiti loji ini bukan sekadar terhad kepada angka tersebut, bahkan berupaya menampung keperluan yang lebih besar,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Tambah Dato' Dr Izani, kualiti air terawat yang dihasilkan juga berada pada tahap sangat baik dengan bacaan 0.026 Unit Kekeruhan Nephelometrik (NTU), sekali gus membuktikan tahap kebersihan air yang dibekalkan kepada pengguna.

“Ini menjadi indikator bahawa air yang dibekalkan adalah sangat bersih dan pengguna tidak perlu ragu lagi. Kuantiti air yang besar digandingkan dengan kualiti yang sangat baik. Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk membekalkan air bersih yang berkualiti kepada rakyat, ” jelasnya.

Terdahulu, Dato' Dr Izani mengadakan lawat kerja ke LRA Bukit Chupak, Gua Musang, hari ini.

Untuk rekod, pembinaan LRA Bukit Chupak yang bermula pada tahun 2024 dibiayai melalui peruntukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Projek berkenaan dijangka memperkukuh bekalan air bersih yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk bandar Gua Musang dan kawasan sekitarnya.