Projek naik taraf LRTB Jeli bernilai RM96 juta diluluskan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 2 Februari – Projek menaik taraf Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) FT4 dari Seksyen 194.4 hingga 244.9 di Jeli yang melibatkan laluan sepanjang 46.5 kilometer (km) diluluskan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Hussein menerusi media sosial, hari ini.
Beliau berkata, projek bernilai RM96 juta itu merangkumi kerja-kerja penambahbaikan lorong memotong, pembaikan permukaan jalan, pembaikan lubang benam (sinkhole), pemasangan lampu solar serta beberapa komponen keselamatan lain.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, selain berfungsi sebagai laluan darat utama yang menghubungkan Kelantan dan Perak serta kawasan Timur dan Barat.
“Saya bersama seluruh warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan amat berbesar hati menerima kunjungan YB Menteri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dato' Dr Izani memaklumkan bahawa beliau turut membangkitkan beberapa isu jalan raya kritikal yang memerlukan tindakan segera pihak Menteri bersempena lawatan kerjanya ke Kelantan.
Lawatan kerja itu berlangsung selama dua hari bermula 1 Februari di Jeli, manakala pada hari kedua, 2 Februari, l Menteri Kerja Raya dijadual turun padang meninjau tiga lokasi kritikal yang dibangkitkan.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid serta Ketua Pengarah JKR Malaysia, Datuk Seri Ir Roslan Ismail.
Antara isu yang diketengahkan ialah keadaan jalan lencongan projek Lebuhraya Tengah Utama (LTU) di Gua Musang bagi pakej 3B, 3C dan 3D yang mengalami kerosakan teruk, sekali gus menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya dan memerlukan pembaikan segera sebelum cuti Tahun Baharu Cina.
Isu kedua melibatkan kejadian cerun runtuh di FT185 Seksyen 107.600 Jalan Lojing–Gua Musang yang menyebabkan penutupan laluan utama menghubungkan Kelantan, Pahang dan Perak, sekali gus menjejaskan lebih 1,000 penduduk, perkhidmatan ambulan serta aktiviti ekonomi setempat. Anggaran kos pembaikan dianggarkan sebanyak RM37 juta.
Lokasi ketiga membabitkan keperluan pembinaan jalan lencongan sementara di kawasan cerun runtuh Seksyen 107.6 dan kejadian lubang benam di Seksyen 78.600 Jalan Lojing–Gua Musang, dengan anggaran kos RM3 juta.
“Kita menantikan khabar gembira demi keselamatan pengguna jalan raya dan kebajikan rakyat Kelantan, insya Allah,” jelasnya.












