Accessibility Tools

Skip to main content

KFLB: Kelantan komited lahirkan graduan berteraskan nilai dan integriti-YB Zamakhshari

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

BACHOK, 1 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut akademik serta memiliki kekuatan jiwa, nilai dan integriti sebagai teras kepimpinan masa depan negeri.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata demikian pada majlis penutup Kelantan Future Leaders Bootcamp 2026 di Sudara Beach Resort, di sini, Sabtu.

Menurutnya, pendekatan itu dizahirkan menerusi penganjuran Kelantan Future Leaders Bootcamp, yang dirangka khusus bagi membentuk kepimpinan holistik dalam kalangan belia.

“Kecemerlangan ilmu tanpa nilai dan akhlak hanya akan melahirkan generasi yang rapuh dalam membuat keputusan dan gagal memikul amanah.
“Kerajaan Negeri tidak mahu melahirkan graduan yang hebat di atas kertas, tetapi kosong dari segi jiwa dan nilai. Kita mahu pemimpin yang berilmu, berakhlak dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat serta negeri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Zamakhshari menegaskan konsep kepimpinan Qawiyyu al-Amin menjadi teras program berkenaan, merangkumi kekuatan kompetensi, integriti, amanah serta keutamaan kepada kepentingan negeri dan negara.

“Pemimpin mesti berani membuat keputusan dan bersedia menanggung risiko. Namun keberanian itu perlu berlandaskan ilmu, fakta serta prinsip yang betul,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan dalam kepimpinan.

“Tiada pemimpin yang sempurna secara individu. Kepimpinan yang berkesan lahir daripada gabungan kekuatan pasukan yang saling melengkapi,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan harapan tinggi agar peserta program berkenaan tampil sebagai pemimpin masa depan dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bidang profesional lain.

“Kepimpinan tidak terhad dalam politik semata-mata. Setiap sektor memerlukan pemimpin yang berwibawa dan berprinsip,” katanya.

Sebanyak 146 peserta terlibat dalam edisi kali ini, merangkumi latar belakang pendidikan yang pelbagai, sekali gus mencerminkan keseimbangan dan keterangkuman dalam pembinaan kepimpinan negeri.

Daripada jumlah tersebut, 40 peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan, 31 dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 29 dari sekolah berasrama penuh, 22 dari sekolah YIK, 19 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), tiga dari sekolah swasta dan dua dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).