Accessibility Tools

Skip to main content

Tanah Rizab Melayu: Kelantan paling luas - NRES

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 1 Februari – Kelantan terus mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang memiliki keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) terbesar di Malaysia apabila mencatatkan jumlah keseluruhan kira-kira 1.36 juta hektar bagi tahun 2024.

Maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu menunjukkan keluasan tersebut meletakkan Kelantan jauh mengatasi negeri lain, termasuk Perak dengan 953,212.43 hektar, diikuti Kedah (809,142.22 hektar) serta Johor (561,802.6 hektar).

Berdasarkan pecahan data sama, Pahang memiliki Tanah Rizab Melayu seluas 444,074.9 hektar, diikuti Negeri Sembilan (224,483.22 hektar), Selangor (164,743.96 hektar) dan Perlis (33,554.48 hektar).

Kuala Lumpur pula merekodkan keluasan yang jauh lebih kecil iaitu sekitar 1,004 hektar.

Sementara itu, di Terengganu, keluasan Tanah Rizab Melayu dilaporkan sekitar 2,378.89 hektar, manakala jumlah keseluruhan tanah pegangan Melayu di negeri berkenaan mencecah 401,129 hektar.

Bagaimanapun, statistik tersebut tidak merangkumi Pulau Pinang dan Melaka kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu.

Pendedahan tersebut dibuat melalui jawapan bertulis NRES di Parlimen susulan pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu YB Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, berkaitan perincian keluasan Tanah Rizab Melayu mengikut negeri serta trend perubahan dalam tempoh lima tahun terakhir, pada 29 Januari.

NRES turut memaklumkan bahawa keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung Malaysia menunjukkan pertambahan bersih sebanyak 135,063.46 hektar sejak tahun 2020, menjadikan jumlah semasa dianggarkan sekitar 4.95 juta hektar, berbanding 4.82 juta hektar sebelum ini.

Namun begitu, statistik berkenaan tidak melibatkan Pulau Pinang dan Melaka berikutan ketiadaan Enakmen Rizab Melayu di kedua-dua negeri tersebut.

Dalam konteks pemeliharaan, kementerian itu menjelaskan bahawa pengurusan Tanah Rizab Melayu dilaksanakan berlandaskan beberapa peruntukan undang-undang utama termasuk Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Rizab Melayu negeri serta Kanun Tanah Negara 1965.

Sementara dalam konteks tadbir urus portfolio tanah negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, beliau memaklumkan bahawa hampir keseluruhan perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Kelantan dijalankan di atas tanah Rizab Melayu.

"Keluasan TRM di Kelantan kini mencecah 1,361,114 hektar bersamaan 91.1 peratus daripada keseluruhan negeri. Hampir semua perancangan pembangunan negeri dilaksanakan di atas Tanah Rizab Melayu" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenyataan yang sama sebagaimana jawapannya kepada  soalan Sidang Dewan Negeri Kelantan Kali Kedua Penggal Ketiga pada Julai 2025.

Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan beberapa pendekatan strategik bagi memelihara status TRM di negeri tersebut.

“Pendekatan pertama, kita membuka peluang pelaburan melalui projek berimpak tinggi. Kedua, memastikan apa jua pembangunan tidak menjejaskan atau mengurangkan keluasan Tanah Rizab Melayu,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri menetapkan kawalan ketat terhadap sebarang aktiviti pembangunan melibatkan Tanah Rizab Melayu bagi mengelakkan sebarang implikasi jangka panjang terhadap pemilikan tanah tersebut.

“Sebarang pembangunan di atas tanah Rizab Melayu hanya boleh dijalankan projek selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri,” jelasnya.