Accessibility Tools

Skip to main content

KPKB laksana projek perintis bawang merah di Gual Ipoh

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 1 Februari - Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) melaksanakan projek perintis tanaman bawang merah di KPKB Agro Farm, Gual Ipoh menerusi Projek Pembangunan Tanah Terbiar dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan menggunakan kaedah fertigasi meja melibatkan 20 stand planting hydroponic (SPH) bagi mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar kepada aktiviti pertanian yang lebih produktif.

Menurutnya, inisiatif itu selari dengan agenda keterjaminan makanan negara, khususnya dalam meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan.

“Secara keseluruhan, projek ini berpotensi menjadi model rintis kepada pembangunan tanah terbiar di kawasan lain, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu kepada komuniti setempat dan memperkukuh sektor pertanian negeri,” katanya di media sosial pada Khamis.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Gua Ipoh, YB Bahari Mohamad Nor mengadakan lawatan ke projek tanaman bawang merah berkenaan bagi meninjau pelaksanaan serta perkembangan semasa projek tersebut.

Dalam lawatan yang sama, Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut meninjau projek ternakan Ayam Saga dan Ayam Penelur yang dijalankan di KPKB Agro Farm, Gual Ipoh melalui kerjasama KPKM.

Beliau berkata, projek ternakan itu bertujuan memperkenalkan kaedah penternakan moden yang lebih sistematik, meningkatkan pengeluaran ayam berkualiti tinggi serta menyediakan sumber protein tambahan kepada komuniti setempat.

“Inisiatif ini diharap dapat menjadi model contoh ternakan lestari yang boleh disesuaikan di kawasan lain bagi memperkukuh industri agro negeri Kelantan,” jelasnya.