Accessibility Tools

Skip to main content

Pendekatan 'atas ke bawah' perlu dalam kes keselamatan rakyat - YB Abdul Latiff

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kaedah kelulusan dari atas ke bawah atau top-down approach dalam keadaan tertentu, khususnya melibatkan isu keselamatan rakyat, berbanding hanya bergantung kepada proses sedia ada dari bawah ke atas atau bottom-up approach.

Cadangan itu dikemukakan ketika beliau menyampaikan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Tahun 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, jika senarai keperluan projek keselamatan rakyat hanya menunggu proses bottom-up, ia berisiko mengambil masa yang panjang sedangkan tindakan segera amat diperlukan.

“Jika senarai keperluan ini hanya menunggu proses dari bawah ke atas, ia mungkin mengambil masa yang panjang. Dalam isu keselamatan rakyat, tindakan segera amat diperlukan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cadangan dan permohonan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat wajar dijadikan asas pertimbangan terus oleh pihak kerajaan bagi membolehkan pelaksanaan di peringkat agensi berkaitan.

Dalam perbahasan sama, YB Abdul Latiff merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan segera bagi pembinaan baharu Jambatan atau Titi Gantung Chatel Damai yang runtuh pada 1 Januari lalu.

Beliau juga menghargai komitmen Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa membina dan memelihara hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atau Government to Government (G2G) demi kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kejadian runtuhnya jambatan berkenaan perlu dijadikan peringatan serius kerana masih terdapat banyak lagi jambatan di Kuala Krai yang uzur, rendah, sempit, sering ditenggelami banjir serta tidak selamat digunakan.

Tambahnya, keadaan tersebut memberi kesan langsung kepada keselamatan penduduk, kelancaran pergerakan harian, urusan anak-anak sekolah, pesakit serta aktiviti ekonomi setempat, khususnya di kawasan pedalaman.

Antara lokasi jambatan yang dikenal pasti dan amat memerlukan pembinaan baharu atau penggantian segera ialah Jambatan Gantung Lata Tual, Lata Rek; Jambatan Gantung Manik Urai Baru; Jambatan Gantung Wok dan Jambatan Gantung Pakdo Mat San di Sungai Sam; Jambatan Slow Machang, Sungai Sok; Jambatan Jalan Jirat; Jambatan Kampung Manjor; Jambatan Padang Lanas, Kampung Belanga; Jambatan Kampung Bunut Sais; Jambatan Blok C dan Blok Kerela di Kampung Temalir; Jambatan Bukit Tukul, Batu Lada; Jambatan Kampung Pasir Cina, Tualang; Jambatan Kampung Ingin Maju ke Kampung Jerek; Jambatan Kampung Gertak Serong, Kemubu; Jambatan Sungai Tupai, Stong serta Jambatan Kampung Sedek.

Menurutnya, semua jambatan berkenaan merupakan nadi perhubungan yang menentukan tahap keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

“Jika jawapan Menteri nanti menyatakan projek hanya boleh diluluskan selepas dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri atau jabatan melalui pendekatan bottom-up, maka apa salahnya dalam keadaan tertentu kita laksanakan pendekatan top-down berdasarkan cadangan dan permohonan Ahli Parlimen di Dewan yang mulia ini,” jelasnya.

Beliau berharap senarai jambatan yang dikemukakan dapat diambil perhatian serius dan dilaksanakan oleh agensi berkaitan agar peranan wakil rakyat benar-benar memberi makna dan nilai kepada kesejahteraan rakyat di lapangan, bukan sekadar perbahasan tanpa kesan yang nyata.