Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan laksana Kajian Penghayatan Solat pertama, ambil masa 10 bulan untuk disiapkan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Bahagian Dakwah Halaqat Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sedang melaksanakan satu kajian penghayatan solat di seluruh negeri ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kajian berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan di Kelantan dan mengambil tempoh selama 10 bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, kajian itu bertujuan memastikan rakyat di semua jajahan di negeri ini menunaikan solat fardu serta mengenal pasti tahap penghayatan solat dalam kalangan masyarakat Islam.

“Melalui kajian ini, kita dapat mengenal pasti bermula daripada peringkat akil baligh ke atas, siapa yang tidak menunaikan solat fardu serta peratusan mereka yang menunaikan solat fardu secara sempurna di Negeri Kelantan."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian Program Iqamatu as-Solat Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini, hari ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

YB Mohd Asri juga memaklumkan bahawa hasil kajian tersebut dijangka siap sepenuhnya pada April 2026 sebelum dibentangkan kepada pemimpin setempat termasuk wakil rakyat dan ketua jajahan.

“Pembentangan ini akan memberi gambaran jelas kepada pemimpin setempat mengenai keadaan sebenar penghayatan solat di kawasan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, solat merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi sesebuah negeri dan negara kerana ia menjadi asas kekuatan masyarakat.

“Mana-mana tempat yang terdapat orang Islam tidak menunaikan solat, ia boleh meruntuhkan tiang negeri, negara dan masyarakat. Pengabaian solat adalah perkara yang sangat membimbangkan dan kita tidak mahu ia berlaku di Kelantan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri mahu amalan solat sentiasa didirikan dan menjadi pegangan umat Islam walau di mana mereka berada.

Dalam pada itu, YB Mohd Asri merakamkan penghargaan kepada Bahagian Dakwah Halaqat JAHEAIK atas usaha memperluaskan seruan Iqamatu as-Solat bukan sahaja di masjid dan surau, malah di pasar, pusat permainan serta kawasan awam.

“Jika ada rakyat Kelantan yang tidak menunaikan solat, itu merupakan satu kebimbangan besar kepada kita. Kita bimbang Allah SWT menurunkan pelbagai musibah dan bala bencana ke atas negeri ini,” katanya.