Accessibility Tools

Skip to main content

Program Iqamatu as-Solat bentuk generasi kekal dirikan solat – Dato' Mohd Amar

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Januari - Program Iqamatu as-Solat yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan membina satu generasi yang kekal mendirikan solat dan menjadikan ibadah itu sebagai sifat yang melekat dalam diri, kata Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Dr Mohd Amar Abdullah.

Katanya, solat tidak seharusnya dilaksanakan hanya ketika rajin atau dalam keadaan lapang, sebaliknya perlu didirikan dalam apa jua keadaan.

“Bukan melaksanakan sembahyang ketika rajin dan tidak sibuk sahaja, tetapi sentiasa melaksanakan ibadah sembahyang walau dalam apa keadaan sekalipun."

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin pada Majlis Perasmian Program Iqamatu as-Solat Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini, hari ini.

Dato’ Dr. Mohd Amar berkata, amalan solat perlu dijadikan sebagai darah daging dan nadi dalam kehidupan sehingga seseorang terdorong untuk mendirikannya secara automatik apabila masuk waktu.

Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Dr Mohd Amar Abdullah

“Orang alim dalam keadaan sakit dan tidak sedar diri sekali pun, apabila masuk waktu sembahyang, tubuhnya tetap bergerak sama ada melalui mata, jari atau anggota badan lain.

“Maknanya, tubuh mereka sudah terikat dengan sembahyang secara automatik,” katanya.

Beliau turut mengaitkan amalan solat dengan jam biologi tubuh manusia yang terbentuk melalui latihan berterusan.

“Apabila seseorang membiasakan diri tidur jam 10 malam dan bangun jam 5 pagi, tubuh akan bertindak secara automatik. Begitu juga dengan solat, ia perlu dilatih sehingga menjadi kebiasaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan ketua keluarga amat penting dalam membina amalan solat dalam institusi keluarga bermula sejak usia kecil.

“Apabila masuk waktu sembahyang, ajak anak-anak solat berjemaah atau sekurang-kurangnya menyuruh mereka menunaikan solat. Latihan ini bermula dari rumah dan sejak kecil lagi,” katanya.

Beliau turut menyentuh sikap sebahagian ibu bapa yang lebih menitikberatkan pendidikan akademik berbanding pendidikan agama.

“Orang zaman sekarang marah jika anak tidak pergi kelas tuisyen, tetapi tidak marah jika anak tidak sembahyang. Ada ibu bapa sanggup berhabis duit untuk tuisyen, tetapi tidak sanggup berhabis untuk pendidikan agama,” tegasnya.

Dato' Mohd Amar menyeru semua pihak supaya bekerjasama membantu kerajaan bagi membina generasi yang menjaga solat.

“Sebarang dasar dan perancangan kerajaan tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penglibatan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Ketua Pengelola Halaqat Negeri Kelantan Dr Mohd Alwi Yusof serta Timbalan Mufti Negeri Kelantan YB Dato’ Bijasura Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.