Kemajuan ECRL jajaran Kelantan capai 96.67 peratus
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 29 Januari 2026 - Pembinaan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 43 kilometer di negeri Kelantan telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 96.67 peratus sehingga Disember 2025.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata Kerajaan Negeri berpuas hati dengan perkembangan semasa projek tersebut.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerajaan negeri melihat kemajuan yang hampir siap ini sebagai satu petanda jelas bahawa projek ECRL di Kelantan dilaksanakan dengan teratur, tersusun dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr Izani Husin
Dato’ Dr Izani turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan aktif bagi memastikan projek berkenaan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dan pihak pelaksana bagi memastikan ECRL bukan sahaja siap mengikut jadual, malah benar-benar memberi impak kepada pembangunan ekonomi, kemudahan mobiliti rakyat serta pembangunan luar bandar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian susulan Lawatan Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook ke ECRL Feeder Station 01 dan Stesen ECRL Kota Bharu hari ini bagi meninjau kemajuan pembinaan jajaran ECRL di Kelantan.
Sementara itu, YB Loke Siew Fook memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan selaku agensi yang mengawal selia projek ECRL juga berpuas hati dengan tahap kemajuan pembinaan jajaran tersebut.
“Pembinaan jajaran ECRL sepanjang 43 kilometer di negeri Kelantan telah mencapai kemajuan sebanyak 96.67 peratus sehingga Disember 2025 dan kini berada pada tahap yang sangat memberangsangkan,” katanya pada sidang media selepas lawatan tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan stesen ECRL di Kelantan bukan sahaja memberi keutamaan kepada fungsi pengangkutan, bahkan turut menitikberatkan elemen identiti tempatan.
“Stesen Kota Bharu di Tunjong direka berteraskan konsep ‘Rumah Meleh Melayu’ dan elemen ‘Bunga Ketam Guri’ bagi mengekalkan keunikan seni bina serta warisan budaya Kelantan, di samping menyediakan kemudahan moden dan selesa kepada pengguna,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa jajaran ECRL di Kelantan melibatkan pembinaan Stesen Kota Bharu bagi kegunaan penumpang sahaja serta Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli yang akan berfungsi sebagai hab penumpang dan kargo.
Stesen ECRL Kota Bharu dibina di atas kawasan seluas 20.94 hektar dan melibatkan pembinaan platform bertingkat serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk eskalator, lif, kawasan naik-turun penumpang, lebih 500 lot tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, landskap serta kuarters pekerja dan krew kereta api.






















