64 bas baharu, termasuk lapan EV perkukuh mobiliti hijau rakyat Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 29 Januari – Usaha memperkasa sistem pengangkutan awam negeri terus diperkukuh apabila sebanyak 64 buah bas baharu yang selesa dan mesra pengguna disediakan.
Perkhidmatan tersebut merangkumi 16 laluan strategik yang menghubungkan Kota Bharu dengan semua bandar utama di setiap jajahan di Kelantan.
Sebagai langkah ke hadapan selaras dengan agenda mobiliti hijau, lapan bas elektrik (EV) turut diperkenalkan khusus bagi laluan bandar, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar serta meningkatkan tahap keselesaan penumpang.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengangkutan awam darat termasuk bas ekspres dan bas berhenti-henti memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian rakyat, khususnya dalam menyokong pergerakan ekonomi, sosial dan kekeluargaan.
Menurutnya, sistem pengangkutan yang strategik dan cekap merupakan tulang belakang kepada perhubungan antara negeri serta daerah, seiring dengan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Kerajaan sebelum ini memperkenalkan skim sokongan interim bagi perkhidmatan bas berhenti-henti sebelum diteruskan dengan pendekatan yang lebih sistematik menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Kota Bharu di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan SBST di Kelantan melalui BAS.MY Kota Bharu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan bas yang terancang, selamat, boleh dipercayai serta mesra rakyat.
“Hari ini kita melangkah ke fasa yang lebih moden melalui program BAS.MY Kota Bharu yang akan dilancarkan. Insya-Allah, inisiatif ini akan terus menjadi nadi pengangkutan harian rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau memaklumkan, perkhidmatan SBST kini meliputi 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di hampir seluruh negeri Kelantan, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan tiada jajahan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Mengulas sambutan rakyat, beliau berkata berdasarkan data Julai hingga Disember 2025, seramai 382,903 penumpang telah menggunakan perkhidmatan BAS.MY, dengan laluan Kota Bharu–Rantau Panjang mencatat jumlah tertinggi iaitu 85,516 penumpang.
Selain itu, setakat 17 Januari 2026, sebanyak 70 pengguna telah mendaftar bagi pas 30 hari, manakala 6,297 pengguna menerima manfaat Kad Konsesi melibatkan warga emas, mahasiswa, pelajar sekolah dan orang kurang upaya (OKU).
“Angka ini membuktikan bahawa inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya.
Beliau juga yakin pelaksanaan inisiatif Kerajaan Persekutuan tersebut akan mencapai matlamat yang ditetapkan dengan pelantikan Konsortium E-Mutiara Bhd, sebuah syarikat milik anak Kelantan yang berpengalaman luas dalam industri pengangkutan awam.
“Saya percaya rangkaian perkhidmatan bas berhenti-henti di bawah jenama BAS.MY Kota Bharu akan terus menjadi pilihan rakyat dalam memperkukuh jaringan perhubungan antara kawasan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri dan PBT, khususnya dalam penyediaan prasarana sokongan seperti hentian bas.
“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama PBT akan melaksanakan pembinaan pusat hentian bas berhenti-henti di setiap laluan bagi memastikan perkhidmatan ini dapat beroperasi dengan lebih berkesan dan selesa,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook, Setiausaha Bahagian Kementerian Pengangkutan Malaysia Dr Mohd Zaini Mahmood, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Agensi Pengangkutan Awam Darat Ahmad Radhi Maaruf serta Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.




















