UPKN perlu terus hasilkan kandungan berimpak, mudah dipasar dan dinanti rakyat
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 29 Januari - Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) perlu terus berperanan lebih strategik dengan memastikan setiap produk, penerbitan dan kandungan penerangan kerajaan mampu dipasarkan secara berkesan kepada seluruh rakyat Kelantan, sekali gus menjadikan hasil kerjanya sentiasa relevan dan dinanti-nantikan oleh rakyat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, keupayaan mengurus serta menyampaikan maklumat secara tersusun, berfakta dan berimpak amat penting dalam landskap komunikasi semasa yang semakin mencabar dan pantas berubah.
“Kita kini berdepan suasana yang mencabar dan menuntut kebijaksanaan dalam pengurusan maklumat. Setiap kejayaan dan pencapaian kerajaan negeri mesti ditularkan kepada rakyat dengan cara yang jelas, tersusun dan mudah difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pertemuan dan Amanat Exco kepada Kakitangan UPKN 2026 sempena awal tahun 2026 di bilik mesyuarat UPKN, semalam.
Menurut YB Mohd Asri, komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa UPKN adalah selari dengan keperluan menjadikan jabatan itu sebagai agen penerangan yang berkesan dalam menyampaikan dasar, inisiatif serta pencapaian kerajaan negeri kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pelan hala tuju Kelantan Futures State 2023–2033 tidak seharusnya dilihat sebagai dokumen perancangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan oleh seluruh penjawat awam negeri, termasuk warga UPKN.
“Kelantan Futures State mesti dizahirkan melalui tindakan. Kakitangan UPKN mempunyai peranan penting untuk memastikan hala tuju ini difahami, dihayati dan dirasai oleh rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar prestasi kerja serta kualiti perkhidmatan UPKN terus dipertingkat agar selari dengan kehendak rakyat yang semakin menuntut penyampaian maklumat yang pantas, tepat dan berkesan.
YB Mohd Asri juga mengingatkan semua warga UPKN agar mengamalkan budaya kerja berpasukan, bersatu hati serta bijak mengurus masa dan tanggungjawab yang diamanahkan demi memastikan kelancaran operasi jabatan dan keberkesanan peranan UPKN sebagai nadi penerangan kerajaan negeri.










