Accessibility Tools

Skip to main content

Program Dapur Hijau perkukuh keterjaminan makanan isi rumah

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 29 Januari - Program Dapur Hijau yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan dilihat sebagai satu inisiatif berkesan dalam memperkukuh keterjaminan makanan isi rumah.

Program tersebut dirangka secara khusus bagi menggalakkan penanaman sayur-sayuran dan tanaman makanan di sekitar rumah secara mudah serta berterusan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan memberi tumpuan khas kepada golongan wanita, suri rumah dan keluarga berpendapatan rendah dengan pendedahan kepada teknik penanaman yang praktikal dan berskala kecil.

“Melalui Program Dapur Hijau ini, peserta didedahkan dengan kaedah penanaman sayur-sayuran, penggunaan baja organik serta pengurusan kebun kecil yang sistematik. Usaha ini bukan sahaja mampu menjadikan dapur hijau sebagai sumber makanan sendiri, bahkan berpotensi menjana pendapatan sampingan,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.

Sebelum itu, Dato' Tuan Mohd Saripudin menerima kunjungan rombongan dari Urus Setia Wanita Terengganu yang diketuai pengarahnya, Roslina Tuan Sulaiman  bersama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd bagi melihat secara dekat perkembangan Projek Promosi Pertanian Dapur Hijau yang sedang dilaksanakan di komuniti berkonsepkan kebun mini.

Dalam lawatan tersebut, rombongan turut dibawa melawat projek ternakan ayam penelur yang diusahakan oleh kumpulan Usahawantani wanita di Tanah Merah, yang menjadi contoh kejayaan penglibatan wanita dalam sektor agromakanan.

Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin, kerjasama strategik serta perkongsian idea antara pelbagai agensi dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

"Diharapkan dengan pertemuan ini, segala perkongsian idea antara dua pihak dapat memberi manfaat khususnya dalam sektor pertanian," ujarnya.