Accessibility Tools

Skip to main content

MAIK-PERTIS perkasa pengajian al-Quran Braille, pindah ke rumah wakaf lebih kondusif

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 28 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) Wilayah Kelantan menubuhkan Pusat Pengajian al-Quran PERTIS sebagai usaha memartabatkan ilmu al-Quran kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, MAIK komited memperkasakan pengajian al-Quran Braille dengan memindahkan operasinya ke sebuah rumah wakaf yang lebih kondusif.

Menurutnya, sebelum ini kelas pengajian al-Quran Braille diadakan di premis sewaan di Padang Mokkan, Kota Bharu, dengan sebahagian pembiayaannya disumbangkan oleh MAIK.

“Bagi memastikan kelangsungan serta keselesaan pembelajaran, MAIK memindahkan pusat pengajian ini ke sebuah rumah wakaf di Lot 1414, Lorong Sekolah Kebangsaan Bunut Payong, Kampung Bunut Payong, Kota Bharu.

“Lokasi yang lebih strategik ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pelajar, terutamanya dalam kalangan golongan berkeperluan khas, untuk mengikuti kelas pengajian al-Quran," katanya ketika merasmikan Pusat Pengajian al-Quran PERTIS, di sini, hari ini.

Kata YBM Tengku Temenggong lagi, MAIK turut melantik seorang guru agama sepenuh masa al-fadhil Ustaz Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi yang juga OKU penglihatan, bagi memastikan pengajian al-Quran Braille dapat dijalankan secara berterusan dan berkesan.

Dalam usaha memantapkan pendidikan al-Quran secara inklusif, MAIK turut menyumbangkan pelbagai peralatan sokongan pembelajaran seperti peranti e-Braille dan mesin taip Braille bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Sumbangan ini diharap dapat membuka akses ilmu yang lebih luas kepada golongan OKU penglihatan serta memperkukuh sistem pendidikan al-Quran yang mesra OKU,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini selaras dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan sosial, pemeliharaan hak golongan istimewa serta pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak, di samping membuktikan peranan wakaf bukan sekadar aset kebajikan tetapi juga pemangkin pembangunan pendidikan Islam yang berterusan.

Pada majlis sama, YBM Tengku Temenggong mewakili MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli keluarga pewakaf Allahyarham Dato’ Dr Fathil Mohamed iaitu Datin Kartiny Abdul Ghani dan anaknya.

“Inisiatif murni ini melambangkan komitmen tinggi dalam memartabatkan al-Quran, selain menjadi manifestasi kerjasama erat antara institusi masyarakat dan MAIK dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh pendidikan Islam yang inklusif di negeri ini,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kemuliaan di sisi Allah, sebaliknya keimanan, keikhlasan dan kesungguhan dalam menegakkan agama menjadi keutamaan.

Menurutnya, MAIK akan terus memastikan golongan istimewa tidak dipinggirkan, malah diberi perhatian sewajarnya agar setiap lapisan masyarakat memperoleh hak masing-masing, khususnya dalam bidang pendidikan al-Quran.

Untuk rekod, sehingga kini, sebanyak 22 pelajar OKU penglihatan berusia antara 23 hingga 72 tahun mengikuti kelas pengajian di Pusat Pengajian al-Quran PERTIS ini yang terdiri daripada sepuluh lelaki dan 12 wanita, dengan sokongan tiga tenaga pengajar yang juga daripada golongan OKU penglihatan.

Kelas pengajian al-Quran berkenaan dibahagikan kepada tiga peringkat; Peringkat 1 (Pengenalan Asas Braille), Peringkat 2 (Bacaan Iqra’) dan Peringkat 3 (Bacaan al-Quran).

Hadir sama, Tengku Puan Temenggong Kelantan Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Timbalan YDP MAIK Dato' Haji Mohd Anis Hussein dan YDP Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Mohammad Faizal  Che Yusof.