Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan


Penyelarasan murid 6 tahun ke darjah satu perlu persediaan rapi – TMB Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 28 Januari - Penyelarasan kemasukan murid berusia enam tahun ke darjah satu bermula tahun 2027 seperti yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 memerlukan persediaan rapi dan kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memastikan setiap aspek berkaitan pelaksanaan dasar tersebut diteliti dengan teliti, termasuk kesiapsiagaan sekolah dan guru.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri pada 20 Januari lalu mengenai cadangan murid enam tahun memasuki darjah satu, dalam Sidang Media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, dari sudut usia, cadangan tersebut bukanlah satu isu besar memandangkan banyak negara maju telah lama memulakan pendidikan sekolah rendah pada umur enam tahun.

“Kalau kita lihat keadaan sekarang, pelajar-pelajar dan anak-anak kita yang berumur tujuh tahun sudah boleh belajar dan membaca dengan baik kerana seawal umur tiga atau empat tahun mereka telah mula bersekolah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira tahap kesediaan di semua peringkat, khususnya dari segi kemudahan fizikal dan sumber manusia.

“Kelantan boleh menerima cadangan ini, tetapi biarlah ada kesediaan kerana ia akan melibatkan bilik darjah, guru-guru dan banyak lagi kemungkinan kekangan yang perlu diuruskan dengan baik, jelasnya.

Tambahnya, faktor usia murid tidak menjadi masalah utama, sebaliknya aspek kesediaan mental dan fizikal pihak sekolah serta guru-guru perlu diberi perhatian.

“Bagi saya, yang penting ialah kesediaan dari segi mental dan fizikal, bukan sahaja murid, tetapi juga pihak sekolah dan guru-guru sendiri,” katanya.