Accessibility Tools

Skip to main content

Nama srikandi Islam jadi identiti pasar-pasar di Kelantan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Mumtaz

TUMPAT, 28 Januari – Penjenamaan pasar-pasar di Kelantan dengan nama srikandi Islam seperti Pasar Siti Fatimah, Siti Hajar, Siti Khadijah, Siti Sarah dan Pasar Sumayyah telah menjadi identiti unik negeri ini, sekali gus mencerminkan peranan penting wanita sebagai penggerak utama ekonomi setempat, khususnya dalam sektor perniagaan kecil dan pasar tradisional.

Perkara itu dizahirkan oleh Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi sempena Program Menyantuni Peniaga-Peniaga Pasar Sumayyah Tumpat anjuran Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) Tumpat, yang berlangsung di Pasar Sumayyah, Bandar Bentara, di sini, pada Sabtu.

“Di Kelantan ni nama-nama pasar guna nama wanita, misalnya Pasar Siti Fatimah, Siti Hajar, Siti Khadijah, Pasar Sumayyah.” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.

Dato' Mumtaz menjelaskan bahawa program itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dan telah dilaksanakan secara berterusan lebih sepuluh tahun di seluruh Parlimen negeri ini.

“Di seluruh Kelantan ini, kita sudah lebih sepuluh tahun menubuhkan Majlis Perundingan Wanita di setiap Parlimen. Setiap Parlimen melantik kira-kira 30 wanita daripada pelbagai sektor untuk merancang dan melaksanakan aktiviti tahunan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, bagi tahun 2026, program sulung yang dijalankan pada bulan Januari ini memberi fokus kepada penyantunan peniaga wanita di pasar-pasar wanita.

Program tersebut turut diagihkan cenderahati kepada 300 peniaga-peniaga pasar berkenaan.

"Kita agihkan pamplet kesihatan wanita, tuala dan juga kurma untuk menyambut bulan Ramadan" jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi MPWP Tumpat Hafizah Abdullah berharap program itu dapat memberi manfaat berterusan kepada peniaga wanita.

“Semoga peniaga-peniaga sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dapat berniaga dengan baik. Tumpat memang terkenal dengan pelbagai makanan, jadi kami menjemput semua untuk datang berkunjung ke Tumpat,” katanya.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Kelantan, bertujuan menyantuni peniaga wanita serta menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan wanita.

Turut hadir, isteri Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor Datin Nurfariza Mohd Hassan, Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki, wakil Klinik Kesihatan Tumpat Dr Wan Nurfarihan dan Pengerusi MMA Cawangan Kelantan Dr Tuan Zamani Tuan Zakaria.

Program berkenaan juga memberi peluang kepada pempengaruh tempatan Farok Ismail bagi mempromosikan program Kerajaan Negeri Kelantan serta mengajak orang ramai berkunjung ke Tumpat.