MB Kelantan ziarah mangsa kebakaran, pastikan kebajikan sewajarnya disalur
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 28 Januari - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mangsa kebakaran dengan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat di lokasi kejadian di Jalan Tok Guru, Kota Bharu, di sini.
Dalam lawatan tersebut, beliau menziarahi Norhaeda Azhar, 51, antara mangsa yang kediamannya terlibat dalam kebakaran yang berlaku pada petang Ahad lalu. Insiden itu turut mengorbankan seorang warga emas, Fatimah Mat Said, 89, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rumahnya musnah sepenuhnya.
Menteri Besar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kebakaran berkenaan melibatkan dua buah rumah, dengan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus daripada struktur asal.
“Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan memastikan bantuan kebajikan yang sewajarnya disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat bagi meringankan beban mereka,” katanya menerusi media sosial pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat serta penduduk setempat yang bertungkus-lumus membantu mangsa sejak awal kejadian berlaku, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Saya mendoakan agar semua mangsa yang terlibat serta keluarga almarhumah Fatimah Mat Said dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim, Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Negeri Kelantan (PURNAMA) Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob serta timbalannya, Datin Bahrulnurarifah Baharuddin.














