475 guru YIK terima Anugerah Guru Terbaik GPMP 2024
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 27 Januari - Sebanyak 475 guru sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima Anugerah Guru Terbaik Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz al-Quran (SMTQ), Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024.
Majlis Apresiasi dan penyampaian anugerah Guru Terbaik GPMP itu disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di Dewan Besar YIK, Tunjong, di sini, pada Isnin.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Wan Roslan berkata majlis berkenaan merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri serta YIK terhadap usaha dan kesungguhan warga pendidik yang menjadi tunjang kepada pembangunan pendidikan Islam di Kelantan.
Katanya, para guru memikul amanah besar dalam membina generasi masa hadapan negeri ini, khususnya dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan sahsiah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat
“Pendidikan Islam adalah satu amanah besar yang dipikul oleh para pendidik dalam membina generasi masa depan masyarakat di Kelantan.
“Kejayaan pelajar dalam peperiksaan SMU, SMTQ, STUP, SPM dan STAM pula adalah hasil keikhlasan, kesungguhan serta kesabaran para guru dalam mendidik. Tanpa kesabaran, kita tidak akan mampu mencapai sebarang kejayaan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan para pendidik supaya menyedari cabaran mendidik generasi masa kini yang berdepan persekitaran berbeza berbanding dahulu, khususnya pengaruh teknologi dan maklumat tanpa sempadan.
“Anak-anak hari ini hidup dalam dunia yang pantas dan terbuka. Justeru, pendekatan pendidikan juga perlu disesuaikan dengan realiti semasa agar ilmu, adab dan disiplin benar-benar sampai ke jiwa pelajar,” ujarnya.
Dato’ Wan Roslan juga memaklumkan bahawa penubuhan YIK bukan sekadar mengurus sekolah dan peperiksaan, sebaliknya berperanan sebagai benteng dalam memelihara roh, nilai dan jati diri pendidikan Islam selari dengan Dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.
“Bidang fokus YIK mungkin berbeza dengan arus perdana. Fokus YIK adalah untuk memartabatkan pendidikan Islam dan pada masa sama terus cemerlang dalam bidang lain seperti sains dan teknologi,” katanya.
Tambahnya, Kelantan bukan asing dalam dunia pendidikan kerana negeri ini mempunyai sejarah panjang tradisi keilmuan melalui institusi pondok, madrasah, tahfiz serta peranan ulama sebagai rujukan masyarakat.
Majlis turut dihadiri Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi,YB Kamaruzaman Mohamad, Pengarah YIK Shamsul Abu Daud, Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan) Mohd Kamarudin Omar, Timbalan Pengarah (Sekolah) Ahmad Fakhruddin Deraman, Timbalan Pengarah (Akademik) Sukeri Hussin serta penolong pengarah dan pengetua sekolah YIK.














