Anak muda Machang berjaya tanam tin, potensi agropelancongan berkembang
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media ADN
MACHANG, 27 Januari - Kejayaan seorang anak muda dari Machang mengusahakan kebun tin dan berkonsepkan agro-pelancongan mendapat perhatian pemimpin tempatan apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor mengadakan kunjungan ke Kebun Anggur dan Tin Machang (Po-Land GrapeFig Mace) di Kampung Batu 31, Jalan Kuala Krai, d sini, pada Khamis.
Kebun tersebut diusahakan oleh Nur Taufiq Yusuf, 36, seorang mantan jurugambar profesional yang kini memilih haluan baharu sebagai petani moden dengan menumpukan penanaman pokok tin, khususnya varieti Masui Dauphine (MDA) dan Constantine De Algerie (CDA).
YB Ahmad Zakhran menzahirkan ucapan tahniah kepada usahawan muda itu atas kejayaannya menghasilkan buah tin berkualiti tinggi dengan keunikan rasa yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan tempatan bahkan turut menarik minat pelanggan dan pelancong dari luar negara.
“Kita kagum dengan kegigihan anak muda Machang ini. Bermula dengan hanya lima anak pokok dan modal sekitar RM500, kini bukan Taufiq saja yang mampu tersenyum puas melihat deretan pokok tin miliknya yang berbuah lebat. Pengunjung pelanggan tempatan bahkan pelancong antarabangsa pun terpesona,” katanya.
Menurut YB Ahmad Zakhran lagi, sektor pertanian masa kini tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran hasil semata-mata, sebaliknya berpotensi besar dibangunkan sebagai produk pelancongan setempat menerusi pendekatan agro-pelancongan yang berdaya maju dan mampan.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap kebun Po-Land GrapeFig Mace yang diusahakan di atas tanah berkeluasan 1.5 ekar, melibatkan penanaman kira-kira 100 batang pokok anggur daripada 60 varieti berbeza di kawasan seluas 0.5 ekar, manakala baki satu ekar dimanfaatkan untuk penanaman sekitar 500 batang pokok tin.
“Melalui usaha tani ini, banyak peluang pekerjaan dibuka kepada belia DUN Kemuning. Berdasarkan penerangan yang dikongsi oleh pemilik kebun bersama pasukannya, saya percaya mereka mempunyai perancangan jangka panjang yang tersusun. Insya-Allah, saya akan memperhalusi setiap perancangan tersebut melalui jawatankuasa berkaitan yang dibentuk oleh Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Nur Taufiq yang merupakan graduan Reka Bentuk Grafik dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor, menyifatkan setiap biji buah tin yang dihasilkan bukan sekadar hasil pertanian, sebaliknya lambang keberanian untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.
“Pada awalnya saya menanam anggur, kemudian selepas melihat hasil yang memberangsangkan, saya tekad mencuba tanaman buah tin. Permintaannya tinggi dan harga pula premium. Tidak sangka percubaan dengan lima anak pokok akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Lebih dua tahun berlalu, beliau kini memiliki hampir 400 pokok tin, dengan hasil yang mendapat permintaan daripada pelanggan luar negara termasuk Jepun, Kanada, Arab Saudi, England dan Singapura.
“Buah tin CDA lebih besar, berkulit kuning dan mempunyai rasa manis yang berbeza, sebab itu ada pelanggan menggelarnya buah kayangan,” katanya, sambil menjelaskan varieti CDA lebih mencabar untuk dijaga berbanding MDA.
Tambahnya, harga buah tin CDA boleh mencecah RM100 sekilogram, manakala MDA sekitar RM60 sekilogram, dengan berat setiap biji antara 80 hingga 120 gram.
“Selain cantik, buah tin kaya dengan antioksidan, vitamin A, kalsium, zat besi, potasium dan serat, menjadikannya pilihan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat,” jelasnya.
Menariknya, di samping membeli hasil tuaian, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman memetik sendiri buah tin segar dari pokok.
“Setiap hari kebun ini mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram buah tin, namun saya hadkan jualan kepada dua pek seorang, dengan setiap pek seberat sekitar 280 hingga 300 gram pada harga RM20,” katanya.
Mengulas faktor kejayaan tanaman tersebut, beliau berkata iklim panas hampir sepanjang tahun di Malaysia amat sesuai untuk tanaman tin yang tidak tahan hujan berpanjangan.
“Pokok tin memang sukakan cuaca panas, sebab itu saya tanam dalam rumah hijau dengan kos sekitar RM100,000. Alhamdulillah, saya turut menerima bantuan geran RISDA berjumlah RM60,000 yang sekarang memberi pendapatan bulanan mencecah sekitar RM15,000,” katanya.












