Taman Industri IBS Machang bakal buka 3,500 peluang pekerjaan kepada anak tempatan
Oleh: Syamimi Manah
MACHANG, 27 Januari - Pembangunan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) seluas 200 ekar (80.94 hektar) di Sungai Bagan, Labok, Machang dijangka mampu menyediakan sehingga 3,500 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh ekosistem perindustrian serta membuka ruang pelaburan baharu di Kelantan.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mohamad Nasriff Daud berkata, taman industri IBS berkenaan dirancang bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, bahkan membentuk satu kawasan industri yang terurus dan mampan.
“Kita boleh menyediakan sehingga 3,500 peluang pekerjaan. Harapan saya, taman ini bukan sahaja dapat menyediakan peluang pekerjaan dan kawasan industri, dengan pengurusan pengurus taman (park manager) yang teratur, tetapi saya juga berharap ia dapat menjadi satu model pembangunan kawasan perindustrian yang mampan,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke tapak cadangan pembangunan berkenaan, semalam.
Menurutnya, kewujudan taman industri IBS Machang itu turut disokong oleh pembangunan infrastruktur berskala besar yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.
“Saya menjangkakan apabila siap projek-projek infrastruktur utama seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan lebuh raya, ia akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan ekosistem bagi kawasan industri ini,” jelasnya.
Pengurus Taman IBS, Hasniro Hasbullah
Sementara itu, Pengurus Taman IBS Hasniro Hasbullah berkata, pembangunan taman industri berkenaan tercetus hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan dan CIDB IBS, iaitu anak syarikat kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia).
“Dalam rundingan tersebut, telah tercetus idea untuk membangunkan taman industri IBS ini dengan bantuan serta sokongan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan CIDB Malaysia,” katanya.
Menurutnya, konsep taman industri IBS Machang adalah menghimpunkan pengusaha-pengusaha kilang IBS di satu lokasi bagi membolehkan pembinaan kilang serta pengeluaran produk IBS untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.
“Kita berpakat dengan pengusaha-pengusaha kilang IBS untuk berada di satu tempat, membina kilang dan mengeluarkan produk-produk IBS untuk pasaran tempatan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, taman industri berkenaan menyediakan sebanyak 47 lot kilang, merangkumi enam lot untuk CIDB dan 41 lot untuk kegunaan industri, selain turut menyediakan 56 unit lot kedai yang terletak di hadapan jalan utama, dengan reka bentuk keseluruhannya telah siap.
Antara syarikat yang telah mengemukakan permohonan untuk beroperasi di taman industri tersebut ialah Precast Engineering Sdn. Bhd., Mahligai Idaman Development Sdn. Bhd., KB Piling Sdn. Bhd. dan Vertex Central Industries Sdn. Bhd.
Menurut Hasniro, kerja-kerja infrastruktur taman industri IBS Machang dijangka siap sepenuhnya pada April tahun ini, sekali gus membolehkan pengilang memulakan fasa pembinaan kilang masing-masing.
“Apabila industri IBS ini siap nanti, kita jangka dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas pihak kerajaan menerima serahan tapak daripada kontraktor, pengilang-pengilang sudah boleh masuk untuk membina kilang masing-masing,” katanya.
Tambahnya, apabila pengilang memasuki kawasan tersebut kelak, mereka hanya perlu menumpukan kepada pembangunan kilang kerana semua kemudahan asas dan utiliti telah disediakan sepenuhnya.
“Utiliti serta kemudahan lain semuanya lengkap tersedia. Pengilang hanya fokus kepada pembangunan kilang masing-masing,” jelasnya.












