Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mohamad Nasriff Daud


Kerja Infrastruktur IBS Machang capai kemajuan 93.31 peratus

Oleh: Syamimi Manah

MACHANG, 27 Januari - Kerja-kerja infrastruktur bagi pembangunan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) seluas 200 ekar (80.94 hektar) di Sungai Bagan, Labok, Machang telah mencapai 93.31 peratus kemajuan fizikal setakat 15 Januari, sekali gus meletakkan projek itu sebagai model pembangunan kawasan industri bersepadu di Kelantan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mohamad Nasriff Daud berkata, pembangunan taman perindustrian berkenaan merupakan projek usahasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan yang memberi tumpuan kepada industri pembinaan berasaskan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Saya berada di tapak IBS Sungai Bagan iaitu pembangunan seluas 200 ekar yang diusahasamakan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Projek ini merangkumi satu kawasan industri baharu untuk kita fokuskan pembangunan IBS dan kerja-kerja infrastruktur ini kita harap dapat siap pada April 2026,” katanya semasa taklimat dan lawatan kerja ke tapak cadangan pembangunan berkenaan, semalam.

Menurutnya, kemajuan fizikal yang mencecah 93.31 peratus itu melibatkan pembangunan infrastruktur utama termasuk pembinaan jalan dalaman, sistem saliran, bekalan utiliti serta kemudahan sokongan yang lengkap.

Beliau menjelaskan, fasa pertama pembangunan yang memfokuskan kepada penyediaan infrastruktur asas taman perindustrian dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini.

“Konsep pembangunan di sini adalah bersepadu. Kita memaksimumkan penggunaan kawasan industri bukan sahaja untuk kegunaan pengilang-pengilang, tetapi dalam masa yang sama kita menyediakan kemudahan surau bagi memudahkan pekerja menunaikan solat,” katanya.

Selain itu, katanya, kemudahan lain yang turut disediakan termasuk satu kawasan pasar malam berkonsep terbuka untuk kegunaan penduduk tempatan serta kawasan rekreasi, bagi memastikan pembangunan industri yang dilaksanakan turut mengambil kira keperluan komuniti setempat.

Tambahnya, projek berkenaan seterusnya akan memasuki fasa kedua yang dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini, melibatkan pembangunan kilang dan gudang oleh syarikat-syarikat yang telah dan sedang memohon serta membeli lot industri.

“Fasa kedua ini melibatkan pembinaan kilang dan gudang bagi tujuan pembuatan dan penyimpanan produk pembinaan, khususnya Sistem Binaan Berindustri (IBS). Buat masa ini, kita telah mempunyai 40 pengilang yang bersedia untuk memulakan pembinaan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penggunaan konsep IBS membolehkan tempoh pembinaan kilang dipendekkan kepada sekitar enam bulan sahaja, sekali gus mempercepatkan proses pengoperasian kawasan industri tersebut.

“Dengan konsep pembangunan bersepadu ini, kita berharap kawasan perindustrian IBS Sungai Bagan akan menjadi satu contoh atau model kawasan industri yang lebih mampan serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Kita menjangkakan menjelang tahun hadapan, kawasan industri ini sudah boleh digunakan sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Khidmat Teknikal Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Wan Haidar Amni Nik Mansor memaklumkan bahawa PKINK berperanan sebagai agensi pelaksana dan koordinator utama bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Pengurus Khidmat Teknikal Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Haidar Amni Nik Mansor

“Kami di PKINK sebagai agensi pelaksana akan memastikan peruntukan yang diberikan dilaksanakan sebaiknya. Projek ini menerima peruntukan daripada Kementerian Ekonomi berjumlah RM90.396 juta yang disalurkan kepada PKINK,” katanya.

Tambahnya, dari segi pelaksanaan projek, pihaknya akan memastikan semua kerja berjalan lancar melalui kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta seluruh agensi teknikal yang terlibat.