Accessibility Tools

Skip to main content

Kursus Keusahawanan Produk Sejuk Beku bantu 40 peserta e-Kasih pertingkat taraf hidup

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 27 Januari - Penganjuran Kursus Keusahawanan Produk Makanan dan Minuman Sejuk Beku peringkat negeri Kelantan membantu meningkatkan taraf hidup 40 peserta daripada pangkalan data e-Kasih, sekali gus menyokong usaha mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi penyumbang kepada ekonomi komuniti setempat.

Program anjuran Pertubuhan Ikatan Pembangunan Usahawan Malaysia (PIAGAM) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melibatkan kursus intensif selama lapan hari bermula pada 19 hingga 26 Januari lalu di sebuah hotel, di Kota Bharu.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, program tersebut dirangka secara menyeluruh merangkumi modul teori dan latihan praktikal bagi melahirkan usahawan berdaya saing dalam bidang produk makanan dan minuman sejuk beku.

Menurutnya, sebaik tamat kursus, setiap peserta akan dibekalkan peralatan perniagaan bernilai RM10,000 termasuk peti sejuk beku serta kelengkapan berkaitan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan dalam tempoh 15 hari selepas tamat latihan.

“Pemantauan berfasa akan dilaksanakan sebanyak enam kali sepanjang tempoh pelaksanaan, dan peserta turut dicabar untuk mencapai sasaran jualan minimum RM815 sebulan dalam tahun pertama perniagaan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) Tahun 2026 bagi Kursus Keusahawanan Produk Makanan dan Minuman Sejuk Beku peringkat negeri Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu.

Dalam ucapannya, YB Hilmi turut menekankan kepentingan penguasaan ilmu aplikasi serta strategi jualan dan pemasaran tanpa sempadan, selari dengan perkembangan teknologi dan cabaran era digital masa kini.

Katanya, usahawan yang berilmu, kreatif dan celik teknologi pada era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta kecerdasan buatan (AI) tidak lagi terikat kepada perniagaan fizikal semata-mata, sebaliknya berupaya menjana pendapatan melalui pelbagai platform dalam talian dengan kos permulaan yang lebih rendah.

“Persaingan dalam dunia keusahawanan kini semakin sengit apabila ramai usahawan menawarkan harga yang kompetitif dan meraih keuntungan melalui jualan berasaskan volum ke pasaran yang tidak terbatas oleh sempadan geografi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PIAGAM, KPKT serta semua agensi terlibat atas kejayaan penganjuran program berkenaan, di samping mengucapkan tahniah kepada para peserta yang komited mengikuti kursus tersebut.