Accessibility Tools

Skip to main content

Rumah Pam Utama Kemubu siap pada Februari, legakan lebih 4,000 pesawah

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 27 Januari - Pembinaan Rumah Pam Utama Kemubu (Rumah Pam 4) seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan dan memberi kelegaan kepada lebih 4,000 pesawah di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembinaan rumah pam itu kini hampir siap dan ujian telah dijalankan melibatkan beberapa unit pam utama bagi memastikan sistem berfungsi dengan baik sebelum digunakan sepenuhnya.

“Dengan siap dan beroperasinya Rumah Pam Kemubu 4, keperluan air untuk proses penanaman padi dapat ditampung, khususnya ketika kebanyakan benih padi sudah ditabur dan sebahagian lagi tertangguh akibat kekurangan air,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Beliau turut mewakili Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta KADA atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam memastikan sistem pengairan di Rumah Pam Utama Kemubu dapat beroperasi dengan lebih teratur.

“Kita juga mendoakan supaya tidak berlaku kemarau yang teruk dan insya Allah bendang padi dapat diselamatkan serta menghasilkan padi yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dan bertungkus-lumus menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh yang amat diperlukan oleh para pesawah ketika ini.

Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama Pengerusi KADA Khalid Samad, turun ke Rumah Pam Utama Kemubu bagi meninjau ujian keupayaan sistem pam sebagai persediaan sebelum ia beroperasi sepenuhnya.

Ujian ini melibatkan penilaian keupayaan sistem pam berkapasiti 88 cusec yang dilaksanakan melalui peruntukan RM20 juta daripada KPKM.

“Peruntukan ini meliputi pembekalan, pemasangan serta penambahbaikan sistem pengairan bagi kawasan Kemubu dan Lemal. Pam ini dijangka dapat menampung keperluan air bagi kawasan sawah seluas 16,000 hektar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KADA, Khalid Samad memaklumkan bahawa pengoperasian sepenuhnya Rumah Pam 4 di Lemal dan di Kemubu yang berkapasiti 320 cusec dijangka siap pada 2 Februari. Rumah Pam Kemubu sudah pun menjalani ujian pengoperasian semalam.

"Projek pelaburan jangka panjang ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh sistem pengairan dan memastikan bekalan air yang stabil kepada kawasan sawah, khususnya dalam menghadapi cabaran musim kemarau," katanya menerusi media sosial pada Isnin.