Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan laksana inisiatif Sekolah Digital secara percubaan tahun ini

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 26 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan bersama Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan melaksanakan inisiatif sekolah digital secara percubaan di beberapa buah sekolah pada tahun ini sebagai usaha memperkukuh sistem pendidikan berteraskan teknologi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelaksanaan inisiatif itu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan tahap keberkesanan dan kemampanannya, selain memberi manfaat kepada pelajar serta ibu bapa.

Menurut beliau, dua buah sekolah telah dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan sekolah digital iaitu Maahad Sains Tok Guru dan Maahad Muhammadi.

“Hasrat kita untuk melaksanakan sekolah digital ini tinggi, namun tahap kemampuan perlu dilihat secara menyeluruh. Ketika ini Maahad Sains Tok Guru sudah mula melaksanakan sekolah digital.

“Sekiranya inisiatif ini berjaya, sekolah digital akan diperluaskan ke sekolah-sekolah pilihan lain.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi Guru Terbaik Gred Purata Mata Pelajaran Peperiksaan SMU, SMTQ, STUP, SPM dan STAM 2024 yang berlangsung di Dewan YIK, Tunjong, hari ini.

Seramai 475 orang guru menerima anugerah guru terbaik yang disampaikan oleh YB Dato' Wan Roslan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan pendidikan masa kini perlu disesuaikan dengan realiti semasa, di mana teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya dimanfaatkan sebagai alat dan wasilah dalam pendidikan.

Katanya, penggunaan pendekatan digital, bahan interaktif serta kaedah pengajaran kreatif yang selari dengan nilai Islam mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan.

Mengulas mengenai pendaftaran sekolah YIK di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau memaklumkan sebanyak 20 buah sekolah YIK telah didaftarkan dengan KPM sejak 10 tahun lalu.

“Pendaftaran terbaharu masih dalam perbincangan dan berada dalam senarai semakan pihak KPM dan YIK.

“Pendaftaran ini penting bagi tujuan penyaluran bantuan kerana syarat untuk menerima bantuan adalah sekolah berkenaan perlu berdaftar dengan KPM,” jelasnya.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Pendidikan Tan Sri Murad atau Laporan Murad, Kerajaan Persekutuan perlu membantu sekolah-sekolah yang daif.

Tambahnya, selepas pendaftaran dibuat, pencapaian sekolah-sekolah YIK yang terlibat didapati menunjukkan peningkatan ketara.

“Kita dapat melihat kebaikan apabila dua agensi iaitu YIK dan KPM berganding bahu. Antaranya peningkatan pencapaian akademik, selain bantuan dari segi prasarana dan tenaga pengajar.

“Guru agama dan Bahasa Arab dibekalkan oleh YIK, manakala guru akademik disediakan oleh KPM,” ujarnya.