Himpunan permotoran jadi platform ekspresi kreatif anak Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN
KOTA DARULNAIM, 26 Januari – Himpunan Permotoran Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di Litar Go Kart Gunong, Bachok pada Sabtu lalu menjadi medan ekspresi kreatif anak muda Kelantan melalui hobi dan minat dalam dunia permotoran.
Program anjuran Kelab Budak Kereta Geng Kita (BKGK) itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat, YB Zameri Mat Nawang dengan penyertaan peminat permotoran dari seluruh negeri.
Menurut YB Zameri, program berkenaan berjaya menghimpunkan pelbagai jenis kereta, lori dan motosikal yang dipamerkan dengan sentuhan kreativiti tersendiri, sekali gus menampilkan keunikan budaya permotoran tempatan.
“Melalui minat dan hobi, para peminat permotoran sanggup melaburkan masa, tenaga serta kos bagi mencantikkan kenderaan masing-masing dengan pelbagai gaya dan kreativiti tersendiri. Ia secara tidak langsung menjadi platform ekspresi kreatif anak Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi beliau hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan turut merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program berkenaan, khususnya di kawasan Jelawat.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program sehebat ini.
"Program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah memperkukuh jaringan komuniti permotoran dan menarik minat generasi muda ke arah aktiviti yang sihat dan berfaedah,” katanya.












