Accessibility Tools

Skip to main content

31, 390 pasangan baru kahwin terima Skim Az-Ziwaaj sejak 2011

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 25 Januari – Sebanyak 31,390 pasangan baru berkahwin di Kelantan telah menerima manfaat daripada Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj (Skim Bantuan Perkahwinan) sejak diperkenalkan pada tahun 2011 hingga 2025.

Setiap penerima menerima sumbangan berjumlah RM1,000, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan mencecah RM31.39 juta.

Inisiatif itu diuruskan oleh Urus Setia Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kelantan (U-Bes) sebagai salah satu usaha meringankan beban kewangan pasangan muda yang menempuh alam perkahwinan pertama, di samping menyokong pembentukan institusi keluarga yang kukuh dan sejahtera.

Menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, Skim Az-Ziwaaj merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu golongan belia memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih stabil.

“Skim Az-Ziwaaj ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong belia dalam memulakan kehidupan berkeluarga secara terancang dan berdaya tahan.

"Kerajaan negeri berharap setiap pasangan muda dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin serta mengamalkan perancangan kewangan yang bijak demi masa depan keluarga,” katanya.

Permohonan skim tersebut terbuka kepada rakyat Kelantan   yang memiliki kod kad pengenalan 03 atau 29 dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, diurus oleh pihak bakal pengantin lelaki dan terhad kepada perkahwinan pertama sahaja.

Pemohon perlu mengemukakan permohonan secara atas talian dengan menyertakan slip gaji atau pengesahan pendapatan daripada Penghulu Mukim bagi tujuan semakan dan kelulusan.