Penghulu, penggawa perlu bantu wujudkan kampung bersih, indah dan ceria – TMB Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 25 Januari – Penghulu, wakil rakyat dan penggawa digesa supaya berganding bahu mewujudkan jajahan serta kampung yang bersih, indah dan ceria sebagai asas kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, penghulu merupakan pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat dan memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kampung sentiasa terurus serta selesa untuk didiami.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 880 penghulu yang menerima watikah pelantikan bagi tahun 2026, sambil mengingatkan agar amanah yang diberikan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
“Penghulu, wakil rakyat dan penggawa perlu sama-sama berusaha mewujudkan jajahan atau kampung yang bersih, indah dan ceria.
“Kalau ada lampu yang tidak menyala, kena selesaikan. Perindahkan landskap kampung dengan pokok bunga yang ceria, segar dan cantik,” katanya ketika merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Penghulu Negeri Kelantan 2026 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), hari ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan penghulu sebagai asas kepada pentadbiran yang berkesan dan diberkati.
“Rapatkan saf dan kukuhkan perpaduan sesama penghulu kerana perpaduan merupakan asas kepada pentadbiran yang diberkati Allah SWT. Sepakatlah kita buat kerja bersama demi kebaikan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan para penghulu supaya membina kepimpinan berteraskan sifat Rabbani dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
“Kita kena ada sifat Rabbani. Seorang yang bersifat Rabbani ialah mereka yang mempunyai ilmu agama dan ilmu dalam bidang kepakarannya. Apa sahaja bidang yang kita ceburi, ilmu agama perlu dijadikan asas,” jelasnya.
Pengerusi Urusetia Pembangunan Penghulu, Zulkifli Mamat
Sementara itu, Pengerusi Urusetia Pembangunan Penghulu Zulkifli Mamat berkata, pihaknya telah merancang pelaksanaan beberapa program berskala besar untuk diturunkan terus ke peringkat kampung menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Pihak majlis telah memilih beberapa program besar untuk diturunkan ke kampung melalui MPKK. Di Kelantan, lebih 4,500 ahli MPKK di seluruh negeri bagi merealisasikan hasrat dan tugasan kerajaan kepada rakyat,” jelasnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada Ketua-Ketua Jajahan serta bacaan lafaz ikrar penghulu bagi tahun 2026.
















