Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud


Peguam Syarie perlu jadi muslihun, didik masyarakat – Exco Agama

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 25 Januari - Peguam Syarie bukan sekadar berperanan mewakili anak guam dalam urusan pendakwaan dan tuntutan di hadapan hakim, sebaliknya perlu berfungsi sebagai muslihun yang mendidik serta memberi kefahaman kepada masyarakat agar kehidupan selari dengan tuntutan syariah.

Perkara itu ditegaskan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud yang menekankan bahawa agenda pengislahan mesti menjadi keutamaan dalam profesion guaman syariah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited memartabatkan perundangan Islam dan konsisten melaksanakan peruntukan undang-undang sedia ada, antaranya melalui penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah I (2019).

“Usaha ini diperkasakan lagi dengan pindaan dan penambahbaikan berterusan terhadap undang-undang syariah negeri, termasuk kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu,” katanya menerusi media sosial pada Sabtu.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan ucaptama di Majlis Makan Malam Persatuan Peguam Syarie Negeri Kelantan (PPSK) yang diadakan di sebuah hotel, di sini.

YB Mohd Asri turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran majlis berkenaan, khususnya Persatuan Peguam Syarie Kelantan (PPSK).

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Mohd Hafiz Daud dan para hakim serta peguam syarie.