Perbahasan titah diraja: Bahasa Melayu, pembangunan Pantai Timur dan integriti negara jadi tumpuan
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 22 Januari - Isu kedaulatan bahasa kebangsaan, jurang pembangunan Pantai Timur serta pembinaan negara berteraskan integriti dan nilai menjadi antara fokus utama perbahasan Junjung Kasih Titah Diraja sempena pembukaan Penggal Parlimen 2026.
Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md. Nawi menegaskan bahawa pemartabatan Bahasa Melayu tidak wajar dilihat sebagai slogan politik semata-mata, sebaliknya merupakan isu kedaulatan negara yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan ini isu kedaulatan Malaysia. Ini bukan ekstremisme, tetapi amanah Perlembagaan dan realiti demografi negara,” tegas beliau ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, penguatkuasaan Akta Bahasa Kebangsaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh meliputi semua urusan rasmi kerajaan, termasuk dokumen dasar, latihan penjawat awam, papan tanda serta komunikasi rasmi di dalam dan luar negara.
“Sudah tiba masanya Dewan Bahasa dan Pustaka diperkasa sepenuhnya, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga daerah. Bahasa dan jati diri negara tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Dalam perbahasan sama, beliau turut membangkitkan isu ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur serta kelemahan sistem mobiliti rakyat di Pantai Timur yang menurutnya masih berlarutan.
“Pantai Timur masih menghadapi kos perjalanan tinggi dan pengangkutan awam luar bandar yang lemah. Kita memerlukan kerangka mobiliti yang serius, bukan serpihan projek,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sehingga ke Tumpat serta memastikan penyelarasan jaringan rel dan pengangkutan awam luar bandar agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Sekuriti makanan negara bergantung kepada petani dan nelayan kecil. Tanpa jaringan mobiliti yang mantap, mereka akan terus hidup dalam kemiskinan, dan ini menjejaskan keselamatan makanan negara,” katanya lagi.
Dato’ Mumtaz turut mencadangkan penubuhan Pusat Pendidikan Keselamatan Bencana Negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan rakyat menghadapi bencana seperti banjir, kebakaran dan gempa bumi.
“Rakyat mesti diperkasakan dengan pendidikan, kemahiran dan simulasi. Kita tidak boleh terus bersifat reaktif setiap kali bencana berlaku. Pendidikan keselamatan bencana harus dimulakan dari kanak-kanak sehingga dewasa,” tegasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pula menekankan bahawa pendidikan berintegriti merupakan asas utama pembinaan negara, selain menyeru agar amalan rasuah dibanteras secara tegas tanpa sebarang kompromi.
“Pendidikan tidak boleh ditafsirkan secara sempit sebagai pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi wahana pembentukan nilai, etika, disiplin dan tanggungjawab kenegaraan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan mendidik nilai amanah dan integriti akan melahirkan kepimpinan yang rapuh dari segi moral, seterusnya membuka ruang kepada penularan rasuah dalam institusi awam.
Mengulas kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau menyeru agar tindakan tegas diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat, negara dan raja,” tegasnya.










